PETALING JAYA: Data Amerika Syarikat (AS) yang lemah serta keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar pinjaman utamanya sebanyak 25 mata asas memberi kelebihan kepada mata wang tempatan meneruskan momentum pengukuhan.
Ringgit mengukuh kepada 4.1000/1100 berbanding dolar AS pada pukul 8 pagi semalam, mencatat paras tertinggi dalam tempoh lebih 55 bulan sebelum mengakhiri dagangan lebih kukuh pada 4.0880/0930.
Ini merupakan kali pertama mata wang tempatan kembali ke zon 4.0 sejak diniagakan pada 4.0950/0990 pada 27 April 2021.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pengukuhan ringgit berlaku hasil gabungan faktor domestik dan luaran yang serentak mengalihkan permintaan ke arah mata wang tempatan.
Menurutnya, aliran masuk pelaburan asing yang konsisten ke dalam pasaran bon dan ekuiti negara menggalakkan pembelian ringgit, selain disokong asas ekonomi Malaysia yang kukuh seperti lebihan dagangan, eksport yang kembali meningkat dan prospek pertumbuhan yang stabil.
“Dalam masa yang sama, dolar AS menyusut berikutan jangkaan dasar monetari yang lebih longgar di AS. Keadaan ini memberi ruang kepada mata wang rantau, termasuk ringgit, untuk terus mengukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas prospek tahun hadapan, beliau berkata, sentimen terhadap ringgit kekal positif sekiranya momentum perdagangan global bertambah stabil dan faktor domestik terus menunjukkan pemulihan.
“Jika aliran masuk modal berterusan, eksport memperlihatkan pengukuhan berperingkat dan pasaran global kekal stabil, ringgit berpotensi mengekalkan hala tuju pengukuhan secara beransur-ansur.
“Namun, prestasi sebenar bergantung kepada perkembangan luaran seperti dasar kadar faedah AS, permintaan global serta kestabilan pasaran kewangan serantau.
“Ringgit dijangka berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, selari pemulihan struktur ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi ringgit bergantung kepada tindakan susulan Fed AS dan kerajaan negara itu.
“Terdapat kemungkinan mereka mengambil langkah mengukuhkan dolar AS, namun tindakan itu dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat.
“Oleh itu, sehingga hujung tahun ini, iaitu dalam tempoh kira-kira 15 hari lagi, ringgit dijangka kekal kukuh menghampiri paras RM4.00 sedolar, manakala dolar AS kekal lemah,” katanya.
Menurutnya, ketika ini dolar AS berada pada tahap paling lemah bukan sahaja berbanding ringgit, tetapi juga hampir semua mata wang utama dunia.
“Keadaan ini berpunca daripada sentimen pasaran yang lemah serta ketidaktentuan mengenai keputusan Fed sama ada mahu menurunkan kadar dasar pinjaman atau mengekalkannya.
“Penurunan kadar itu boleh memberi dua kesan berbeza, namun lazimnya apabila kadar pinjaman lebih rendah, nilai dolar AS turut menurun kerana pelabur akan mengalihkan pegangan kepada mata wang lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi,” jelasnya.
Barjoyai berkata, pada masa sama, pengukuhan ringgit turut disokong oleh peningkatan eksport negara.
“Ekonomi Malaysia ketika ini berada dalam keadaan baik dengan inflasi rendah dan terkawal. Faktor-faktor ini menyokong sentimen positif serta meningkatkan keyakinan pasaran.
“Ringgit juga merupakan mata wang paling kukuh dalam tempoh satu bulan hingga enam minggu kebelakangan ini, mencatatkan pemulihan dan pengukuhan lebih baik berbanding Rupiah Indonesia dan Dolar Singapura,” katanya. – UTUSAN










