PETALING JAYA: Ringgit meneruskan momentum positif, mengukuh melepasi paras 4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup dagangan minggu ini.
Pada pukul 5 petang ini, ringgit ditutup pada 4.0880/0930, berbanding paras penutup pada Khamis iaitu 4.1040/1105.
Ini merupakan kali pertama mata wang tempatan kembali ke paras 4.0 sejak diniagakan pada 4.0950/0990 pada 27 April 2021.
Pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, ketika ini dolar AS berada pada tahap paling lemah bukan sahaja berbanding ringgit, tetapi juga hampir semua mata wang utama dunia.
“Keadaan ini berpunca daripada sentimen pasaran yang lemah serta ketidaktentuan mengenai keputusan Fed sama ada mahu menurunkan kadar dasar pinjaman atau mengekalkannya.
“Penurunan kadar itu boleh memberi dua kesan berbeza, namun lazimnya apabila kadar pinjaman lebih rendah, nilai dolar AS turut menurun kerana pelabur akan mengalihkan pegangan kepada mata wang lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi,” jelasnya.
Barjoyai berkata, pada masa sama, pengukuhan ringgit turut disokong oleh peningkatan eksport negara.
“Ekonomi Malaysia ketika ini berada dalam keadaan baik dengan inflasi rendah dan terkawal. Faktor-faktor ini menyokong sentimen positif serta meningkatkan keyakinan pasaran.
“Ringgit juga merupakan mata wang paling kukuh dalam tempoh satu bulan hingga enam minggu kebelakangan ini, mencatatkan pemulihan dan pengukuhan lebih baik berbanding Rupiah Indonesia dan Dolar Singapura,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pengukuhan ringgit berlaku hasil gabungan faktor domestik dan luaran yang serentak mengalihkan permintaan ke arah mata wang tempatan.
Menurutnya, aliran masuk pelaburan asing yang konsisten ke dalam pasaran bon dan ekuiti negara menggalakkan pembelian ringgit, selain disokong asas ekonomi Malaysia yang kukuh seperti lebihan dagangan, eksport yang kembali meningkat dan prospek pertumbuhan yang stabil.
“Dalam masa yang sama, dolar AS menyusut berikutan jangkaan dasar monetari yang lebih longgar di AS. Keadaan ini memberi ruang kepada mata wang rantau, termasuk ringgit, untuk terus mengukuh,” katanya. – UTUSAN










