Ringgit kekal sebagai mata wang berprestasi terbaik serantau 

Ringgit kekal sebagai mata wang berprestasi terbaik serantau 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi kekal kukuh atau stabil dalam jangka pendek, didorong oleh perkembangan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang menyokong jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, selain aliran dana global yang kembali ke pasaran sedang pesat membangun.

Ini sekali gus membolehkan ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik serantau selepas keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat 3.5 hingga 3.75 peratus pada 10 Disember lalu, sekali gus mengecilkan jurang kadar faedah antara AS dan Malaysia. 

Perkembangan ini mendorong pengukuhan ringgit ke paras tertinggi dalam beberapa tahun pada 4.08 berbanding dolar AS, sekali gus meningkatkan daya tarikan aset Malaysia dari sudut pelarasan mata wang dan menyokong kenaikan saham perbankan berwajaran tinggi.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit didagangkan pada 4.0730/0840 sebelum ditutup pada 4.0740/0790 sekali gus meneruskan prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, walaupun prospek pengukuhan ringgit dilihat positif, momentum kenaikan itu dijangka lebih sederhana kerana masih bergantung kepada beberapa faktor luaran utama.

“Antara faktor penentu ialah hala tuju dasar monetari AS, sentimen risiko global serta prestasi ekonomi domestik. Selagi faktor-faktor ini kekal menyokong, ringgit berupaya mengekalkan kedudukan yang stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas implikasi terhadap sektor eksport, beliau berkata, pengukuhan ringgit boleh memberi tekanan kepada daya saing harga eksport, khususnya kepada pengeksport yang beroperasi dengan kos tinggi dan margin keuntungan yang rendah.

“Apabila hasil eksport dalam dolar AS ditukarkan kepada ringgit, pendapatan syarikat boleh menyusut. Keadaan ini lebih dirasai oleh pengeksport barangan berasaskan kos. 

“Bagaimanapun, syarikat eksport yang menawarkan produk bernilai tambah tinggi serta bergantung kepada input import seperti mesin dan bahan mentah berpotensi mendapat manfaat daripada ringgit yang lebih kukuh melalui penjimatan kos input,” katanya. 

Dari sudut import pula, Idham berkata, pengukuhan ringgit memberi kesan positif yang lebih jelas apabila kos barangan import, bahan mentah dan peralatan menjadi lebih rendah.

“Keadaan ini membantu mengurangkan tekanan inflasi, menurunkan kos pengeluaran dan seterusnya menyokong kestabilan harga pengguna,” katanya.

Tambah beliau, dalam jangka sederhana, ringgit yang kukuh berupaya meningkatkan kuasa beli domestik dan memberi manfaat kepada sektor perkilangan serta pengguna, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

“Pengukuhan ringgit perlu dilihat secara seimbang. Ringgit yang kukuh sememangnya baik untuk kestabilan harga dan kos import, namun sokongan dasar yang bersasar kepada pengeksport amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas,” tambahnya. 

Dalam pada itu, BIMB Securities berkata, didorong sentimen positif ringgit, pasaran saham tempatan menunjukkan daya tahan yang ketara apabila indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 1.7 peratus kepada 1,665.9 mata bagi minggu berakhir 19 Disember, meskipun pasaran Asia Utara berdepan tekanan jualan. 

“Pengukuhan pasaran domestik ini berlaku meskipun aliran keluar dana asing masih berterusan, dengan jumlah pengeluaran bersih sebanyak RM363.3 juta direkodkan sepanjang minggu tersebut. Kenaikan pasaran disokong terutamanya oleh pelabur institusi tempatan yang dilihat berjaya menyerap tekanan jualan daripada pelabur asing,” katanya. 

BIMB Securities berkata, kekuatan pasaran domestik sebahagian besarnya disandarkan kepada sokongan kukuh pelabur institusi tempatan yang menyerap tekanan jualan asing, sekali gus membolehkan pasaran tempatan ‘terpisah’ daripada ketidaktentuan serantau.

“Sentimen turut diperkukuh oleh pengiktirafan positif daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang memuji daya tahan Malaysia berdepan ketegangan perdagangan global serta komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal.

“Keyakinan global ini diperkukuh lagi oleh pasaran buruh yang mantap, dengan kadar pengangguran mencatat paras terendah dalam tempoh sedekad pada 3.0 peratus, sekali gus mengukuhkan naratif pemulihan ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN