Ringgit dijangka kekal stabil sekitar RM4.14 minggu ini

Ringgit dijangka kekal stabil sekitar RM4.14 minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka kekal stabil antara RM4.12 ke RM4.14 minggu ini sementara menunggu keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) oleh Rizab Persekutuan (Fed). 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara perlu menunggu keputusan Fed AS sama ada akan memotong kadar faedahnya lagi bagi bulan terakhir 2025 ini ataupun tidak. 

“Sekiranya ia dikurangkan sekurang-kurangnya 0.25 peratus lagi maka ia akan merapatkan lagi kepada kadar dasar semalaman (OPR) negara pada 2.75 peratus sekarang ini, justeru ia akan melemahkan dolar AS berbanding dengan negara-negara lain termasuk ringgit.

“Prestasi ekonomi semasa Malaysia dari data-data perdagangan pada bulan November juga  menunjukkan prestasi semasa yang baik dan merupakan lebihan dagangan. 

“Ini juga turut menjadi sebab kepada pengukuhan nilai ringgit dengan pulangan ekspot yang melebihi import,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Bagaimanapun, beliau berkata, dolar AS masih kelihatan bertahan dengan kekal sekitar 99 mata dalam indek DXY dan menyebabkan kemungkinan para pengurus dana menunggu berita pengumuman oleh Fed AS tersebut. 

Sementara itu, Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob  berkata, pergerakan ringgit kekal stabil setakat ini kerana pasaran berada dalam mod tunggu dan lihat, tanpa tekanan besar daripada faktor luaran.

“Pergerakan ringgit kini banyak dipengaruhi jangkaan pasaran terhadap keputusan FOMC.

“Selain itu, dengan naratif bahawa Fed berpotensi memberi isyarat pelonggaran dasar pada 2026, dolar AS sedikit melemah, sekali gus menyokong ringgit.

“Fundamental Malaysia yang positif, termasuk lebihan akaun semasa, eksport yang masih berdaya tahan dan sentimen pelabur yang bertambah baik turut membantu mengekalkan kestabilan ringgit,” ujarnya. 

Tambahnya, selain dasar monetari AS, ringgit turut dipengaruhi harga komoditi, perkembangan geopolitik global serta arah aliran modal asing. 

“Dasar fiskal domestik yang konsisten juga memainkan peranan dalam mengekalkan keyakinan terhadap mata wang tempatan,” katanya 

Mengulas mengenai prestasi ringgit berbanding ASEAN, ringgit dilihat lebih stabil berbanding beberapa mata wang ASEAN lain. 

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ringgit menunjukkan pengukuhan berbanding rupiah dan baht, manakala pergerakan terhadap dolar Singapura lebih berhati-hati susulan faktor pertumbuhan ekonomi serantau.

“Secara keseluruhan, ringgit kekal kompetitif di peringkat ASEAN berikutan asas ekonomi Malaysia yang lebih kukuh serta jangkaan pasaran terhadap hala tuju Fed,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN