Reka bentuk patuh UBBL, rumah tanpa balkoni makin jadi pilihan

Reka bentuk patuh UBBL, rumah tanpa balkoni makin jadi pilihan

TREND pemilikan rumah pangsapuri tanpa balkoni kini dilihat semakin mendapat tempat, terutamanya dalam kalangan pembeli yang mementingkan aspek keselamatan, praktikaliti ruang serta kemudahan penyelenggaraan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU keselamatan kediaman bertingkat terus menjadi perhatian apabila semakin ramai pembeli menilai semula keperluan balkoni dalam reka bentuk rumah moden, khususnya di kawasan bandar.

Trend pemilikan rumah pangsapuri tanpa balkoni kini dilihat semakin mendapat tempat, terutamanya dalam kalangan pembeli yang mementingkan aspek keselamatan, praktikaliti ruang serta kemudahan penyelenggaraan.

Fenomena ini turut berkait rapat dengan kesedaran terhadap aspek keselamatan struktur bangunan yang sebenarnya telah lama digariskan dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.

Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Datuk Ar. Azman Md Hashim berkata, semua aspek keselamatan termasuk ketinggian dan jenis penghadang (railing) di bangunan kediaman telah ditetapkan secara jelas dalam UBBL dan wajib dipatuhi oleh arkitek sebelum pelan bangunan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Dalam UBBL, semua panduan sudah ditetapkan seperti ketinggian railing, di mana railing perlu dipasang serta jenis railing yang dibenarkan.

“Sebelum kita buat penyerahan kepada pihak berkuasa tempatan, kita sebagai arkitek berdaftar sudah terikat dengan beberapa perkara, antaranya UBBL, Peraturan Arkitek 1996 dan undang-undang profesion kita sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, reka bentuk yang mematuhi UBBL sepatutnya tidak membenarkan kanak-kanak melepasi penghadang jika digunakan mengikut tujuan asal.

“Sebenarnya, kalau ikut ketinggian railing, ia memang tidak boleh dilepasi oleh kanak-kanak, kecuali jika ada percubaan untuk memanjat.

“Sebab itu dalam rumah, railing direka supaya tidak mempunyai bentuk yang menggalakkan kanak-kanak berpijak atau memanjat,” katanya.

Azman berkata, standard ketinggian railing yang ditetapkan lazimnya melebihi satu meter, bergantung kepada jenis bangunan, manakala bangunan untuk kegunaan awam pula mempunyai syarat lebih ketat termasuk dari segi material.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar untuk terus mengaitkan insiden kemalangan dengan kegagalan reka bentuk selagi siasatan belum membuktikan perkara tersebut.

“Kalau reka bentuk patuh UBBL, saya tidak percaya ia disebabkan kegagalan reka bentuk. Banyak kes berlaku kerana perilaku pengguna atau tindakan di luar jangkaan,” katanya.

Dalam pada itu, faktor keselamatan juga mendorong sebahagian pembeli memilih kediaman tanpa balkoni sebagai langkah pencegahan awal, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Bagi pekerja swasta, Mardhiah Syafiqah Abd. Rahim, 32, keputusan membeli rumah pangsapuri tanpa balkoni dibuat selepas mengambil kira risiko keselamatan.

“Saya memilih rumah pangsapuri yang tidak mempunyai balkoni atau beranda di luar. Ini kerana terlalu banyak kes yang meragut nyawa. Saya pula ada anak kecil, jadi rasa lebih selamat.

“Risau juga kalau anak memanjat walaupun kita berada di rumah. Kemalangan boleh berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Selain keselamatan, keperluan gaya hidup dan fungsi ruang turut mempengaruhi pilihan pembeli.

Penganalisis Teknologi Maklumat, Hari, 26, yang menetap di Eco Majestic, Semenyih sejak lima tahun lalu berkata, ketiadaan balkoni bukan satu kekurangan baginya.

“Walaupun bujang, saya memilih beli kediaman tanpa balkoni dan memadai mempunyai ‘yard’ di bahagian dapur. Sekurang-kurangnya ada proses ventilasi dan pengudaraan di rumah.

“Masa di rumah juga tidaklah lama berbanding tempoh bekerja di pejabat. Jadi, saya tidak mempunyai masalah dengan ketiadaan balkoni,” jelasnya.

Sementara itu, Jurulatih Taekwondo, Chan Hiew Thong, 34, berkata, konsep kediaman tanpa balkoni lebih menepati keperluan hidup ringkas dan mudah diselenggara.

Katanya, faktor harga juga memainkan peranan apabila unit tanpa balkoni lazimnya ditawarkan pada harga lebih rendah.

“Lima tahun lalu, harga kediaman yang saya beli sekitar RM240,000 tanpa balkoni. Kini harganya sudah mencecah RM300,000.

“Bagi saya, ia berbaloi dan lebih selamat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN