PETALING JAYA: Ranhill Utilities Berhad mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM29.9 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 melebihi jangkaan pasaran berikutan margin kasar yang lebih kukuh serta peningkatan hasil daripada segmen air selepas kenaikan tarif, menurut RHB Research.
Pendapatan segmen air meningkat 19 peratus kepada RM414.4 juta, manakala segmen perundingan dan perkhidmatan mencatatkan penurunan 39 peratus kepada RM112.7 juta disebabkan kemungkinan berkurangnya tempahan daripada anak syarikat.
Segmen kuasa pula merekodkan penurunan 32 peratus kepada RM61.9 juta disebabkan kos penyelenggaraan dan kewangan aset kuasa.
Oleh itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Ranhill Utilities dengan harga sasaran (TP) baharu pada RM2.60, menyokong unjuran pertumbuhan keuntungan jangka panjang berikutan permintaan air yang dipacu oleh pembangunan pusat data di Johor, selain pelaksanaan kenaikan tarif air.
Firma penyelidikan berkata, hasil Ranhill Utilities melebihi jangkaan dan pihaknya menaikkan unjuran keuntungan tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak 95 peratus, 90 peratus dan 95 peratus kerana margin kasar lebih baik dan jangkaan penggunaan air lebih tinggi di Johor bagi sektor perumahan, industri biasa dan pusat data.
“TP baharu adalah RM2.60, termasuk premium ESG 4 peratus kerana skor ESG RAHH 3.2.
“Saham diniagakan pada 4.5 kali Nilai Perusahaan (EV)/Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) tahun kewangan 2026, lebih rendah daripada purata 10 tahun sektor air ( kira-kira 6.3 kali),” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan penarafan neutral ke atas Ranhill Utilities dengan TP RM1.91, naik daripada RM1.50 sebelum ini.
Firma berkata, penarafan ini disebabkan oleh peningkatan unjuran pendapatan selepas prestasi lebih baik daripada Ranhill SAJ, terutamanya hasil daripada semakan tarif air yang berkuat kuasa mulai Ogos 2025 yang telah digazetkan oleh kabinet.
“Ranhill SAJ dijangka terus menyumbang secara signifikan kepada keuntungan kumpulan, sejajar dengan pertumbuhan pusat data di Johor serta prospek ekonomi daripada Zon Ekonomi Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas.
“Prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 menunjukkan Ranhill mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM30.2 juta, melebihi jangkaan MBSB Research sebanyak 41.8 peratus daripada unjuran tahunan penuh. Keuntungan ini didorong terutamanya oleh prestasi lebih kukuh Ranhill SAJ walaupun jumlah pendapatan menurun sebanyak 6.2 peratus kepada RM589 juta.
“Segmen air mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 48.7 peratus kepada RM43.5 juta dengan margin meningkat kepada 10.5 peratus berbanding 8.4 peratus setahun sebelumnya,” katanya.
Sehubungan itu, MBSB Research telah menaikkan unjuran keuntungan Ranhill untuk tahun kewangan 2026 dan tahun kewangan 2027, masing-masing sebanyak 34.2 peratus dan 56.8 peratus kepada RM97 juta dan RM125.6 juta.
Kenaikan ini berikutan prestasi lebih baik Ranhill SAJ dan penyesuaian tarif air baharu yang dilaksanakan, dengan pengguna domestik hampir tidak terjejas, manakala pengguna bukan domestik dan pusat data akan dikenakan kadar khusus.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank berkata, keputusan kewangan suku pertama Ranhill sebagai permulaan yang baik, dengan keuntungan bersih meningkat sebanyak 83 peratus tahun ke tahun kepada RM30 juta, melebihi jangkaan mereka.
Firma penyelidikan berkata, kenaikan tarif air baru-baru ini serta pendedahan Ranhill kepada tema Zon Ekonomi Johor-Singapura dan pusat data sebahagian besarnya telah diambil kira dalam harga saham dan sebarang kenaikan lanjut bergantung kepada kelulusan margin terkawal yang lebih tinggi. – UTUSAN










