PNB Merdeka Ventures peroleh pensijilan ISO 9001:2015 - Utusan Malaysia

PNB Merdeka Ventures peroleh pensijilan ISO 9001:2015

TENGKU Ab. Aziz (tiga dari kiri) menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 daripada Md Adha semasa majlis penyampaian sijil di Menara Merdeka 118.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 9001:2015 bagi Sistem Pengurusan Kualiti, sekali gus mengukuhkan keupayaan operasi dan penyampaian perkhidmatan kumpulan itu dalam menyokong pembangunan presint Merdeka 118 bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pengiktirafan antarabangsa itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan proses kerja yang kukuh, konsisten serta sejajar dengan amalan terbaik global.

Menurut beliau, pensijilan ISO 9001:2015 turut menyokong usaha memupuk budaya kebertanggungjawaban dan penambahbaikan berterusan merentasi keseluruhan organisasi.

“Usaha ini menunjukkan dedikasi kami dalam menghasilkan keputusan berkualiti, meningkatkan kepuasan pihak berkepentingan serta mengukuhkan kecekapan operasi. Pencapaian ini tidak mungkin direalisasikan tanpa komitmen dan kerjasama warga kerja PNBMV dalam menyelaraskan operasi organisasi dengan piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Pensijilan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Ts. Md. Adha Katni @ Rahmat kepada pengurusan PNBMV dalam majlis penyerahan sijil di Menara Merdeka 118, di sini.

Beliau menambah, pensijilan tersebut juga memperkukuh kesiapsiagaan PNBMV dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang presint Merdeka 118 yang kini berkembang pesat sebagai hab komersial dan pelancongan utama negara.

Dengan pembukaan lebih banyak tarikan utama menjelang 2026, PNBMV optimis presint Merdeka 118 akan terus menjadi mercu tanda kebanggaan negara, di samping mencerminkan aspirasi pembangunan mampan serta nilai ekonomi jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN