PMCK catat untung bersih RM5.76 juta pada suku kedua

PMCK catat untung bersih RM5.76 juta pada suku kedua

DATUK Lee Gaik Cheng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, PMCK Berhad, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.76 juta bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025.

Keuntungan itu disokong oleh peningkatan jumlah pesakit dalam wad, kecekapan kos yang lebih baik serta keuntungan bersih daripada penyelesaian berkaitan vaksin Covid-19 yang tidak dihantar.

Menurut kenyataannya, hasil suku tersebut meningkat kepada RM25.42 juta, terutamanya hasil daripada perkhidmatan rawatan pesakit dalam yang kekal sebagai penyumbang utama sebanyak kira-kira 79.15 peratus, manakala perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan menyumbang sekitar 70.74 peratus.

“Keuntungan kasar bagi suku kedua 2025 berjumlah RM9.57 juta dengan margin 37.65 peratus, mencerminkan campuran pesakit yang lebih baik serta penyerapan kos yang lebih cekap.

“Secara suku ke suku, keuntungan bersih meningkat ketara daripada RM0.84 juta pada suku pertama, disokong oleh peningkatan jumlah pesakit, perbelanjaan pentadbiran dan kos penyenaraian yang lebih rendah, serta keuntungan bersih RM3 juta daripada penyelesaian vaksin Covid-19.

“Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2025, PMCK mencatatkan hasil RM47.18 juta dan keuntungan bersih RM6.60 juta, dengan pendapatan sesaham sebanyak 0.62 sen,” katanya.

Jumlah aset meningkat kepada RM196.08 juta berbanding RM122.69 juta pada 30 April 2025, manakala ekuiti pemegang saham mengukuh kepada RM155.07 juta daripada RM90.52 juta.

Kedudukan tunai dan pelaburan kekal kukuh pada RM93.05 juta.

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim sulung sebanyak 0.12 sen sesaham, melibatkan pembayaran RM1.31 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026.

Dividen dijadual dibayar pada 28 Januari 2026, dengan tarikh kelayakan pada 9 Januari 2026.

Pengarah Urusan PMCK, Datuk Lee Gaik Cheng berkata, prestasi suku kedua mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta serta momentum operasi yang semakin stabil.

“Kami berpuas hati dengan prestasi suku kedua ini, disokong oleh peningkatan jumlah pesakit dalam wad, kadar penghunian katil yang lebih baik serta struktur kos yang lebih normal selepas penyenaraian.

Sumbangan daripada Program Penyumberan Perkhidmatan Hospital (HSOP) turut membantu prestasi suku ini.

“PMCK turut menilai peluang penggabungan dan pengambilalihan terpilih bagi melengkapkan operasi sedia ada, dengan sebarang urus niaga hanya diteruskan sekiranya mempunyai kesepadanan strategik dan nilai kewangan yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, penyelesaian berjumlah RM6.01 juta berkaitan vaksin COVID-19 yang tidak dihantar dijangka diterima sepenuhnya menjelang suku pertama 2026.

Secara suku ke suku, hasil meningkat 16.82 peratus daripada RM21.76 juta pada suku pertama didorong oleh peningkatan kemasukan pesakit, kadar penghunian katil lebih tinggi serta penyertaan PMCK dalam HSOP.

Mengulas prospek, Lee Gaik Cheng berkata, PMCK kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prestasi jangka terdekat, disokong oleh permintaan stabil terhadap perkhidmatan swasta serta kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta.
“Kami akan terus memperkukuh kapasiti perkhidmatan melalui pengambilan pakar tambahan, penaiktarafan peralatan perubatan serta penambahbaikan sistem hospital digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.

“Pada masa sama, Kumpulan memantau tekanan kos yang semakin meningkat termasuk kenaikan tarif elektrik dan semakan caruman berkanun, sambil melaksanakan inisiatif kecekapan bagi mengurangkan kesannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN