PETALING JAYA: Petronas Gas Bhd. membuat prabayaran yuran jeti di terminal gas asli cecair (LNG) Pengerang bernilai AS$173.64 juta (RM705.67 juta) bagi tempoh 18 tahun, sebagai langkah strategik untuk mengurangkan pendedahan kepada turun naik mata wang asing.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, anak syarikatnya, Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (PLNG2), telah menandatangani perjanjian dengan Pengerang Terminals (Two) Sdn. Bhd. (PT2SB) untuk prabayaran caj tetap tahunan di bawah Perjanjian Penggunaan Jeti (JUA) 2017.
“Perjanjian tersebut melibatkan penyelesaian sebahagian caj tetap tahunan bagi baki tempoh perkhidmatan JUA, iaitu dari 1 Januari 2026 hingga 2 Mac 2044 atau tarikh lain yang dipersetujui bersama.
“Jumlah prabayaran itu mewakili nilai kontrak baki bagi obligasi PLNG2 di bawah perjanjian berkenaa,” menurut makluman di Bursa Malaysia.
PT2SB merupakan syarikat usaha sama antara unit milik penuh Petronas, PRPC Utilities and Facilities Sdn. Bhd., Dialog Equity (Two) Sdn. Bhd., Vopak Terminal Pengerang BV serta Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd.
Menurut Petronas Gas, kemudahan jeti di terminal LNG Pengerang akan terus digunakan oleh PLNG2 sehingga tamat tempoh kontrak, manakala aspek operasi di bawah JUA kekal tidak terjejas.
Langkah prabayaran ini dibuat ketika ringgit mencatat pengukuhan ketara, apabila mata wang tempatan itu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS pada 4.0645.
Dari segi prestasi pasaran, saham Petronas Gas ditutup 10 sen lebih rendah pada RM18 pada Selasa, menjadikan permodalan pasaran syarikat itu berjumlah kira-kira RM35.6 bilion. – UTUSAN










