PETALING JAYA: Petronas, melalui anak syarikatnya PETRONAS LNG Ltd., telah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte. Ltd. bagi pembekalan satu juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG).
Perjanjian itu dibina atas hubungan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan CNOOC, sekali gus mengukuhkan kerjasama dalam pembekalan LNG.
Ia turut menyokong pertumbuhan ekonomi China serta agenda tenaga bersih negara tersebut, termasuk aspirasi “karbon berganda” untuk mencapai kemuncak pelepasan sebelum 2030 dan neutral karbon menjelang 2060.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Shamsairi M Ibrahim berkata, perjanjian ini menandakan peningkatan hubungan kumplan dengan CNOOC, sekali gus memajukan komitmen bersama terhadap keselamatan tenaga dan masa depan rendah karbon.
“Di samping pembekalan LNG, ia mencerminkan pembangunan berterusan perkongsian jangka panjang kami.
“Petronas kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan lebih bersih, serta bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memajukan matlamat peralihan tenaga bersama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, komitmen jangka panjang ini mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai rakan LNG yang dipercayai kepada China, di samping mencerminkan kerjasama berterusan dengan CNOOC dalam salah satu pasaran gas paling dinamik di Asia.
“Dengan peningkatan permintaan Asia terhadap bahan api rendah karbon,Petronas akan terus membekalkan LNG daripada portfolio sedia ada bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan yang semakin berkembang di seluruh rantau ini,” katanya.-UTUSAN










