Perodua Traz dilancar pada harga bermula dari RM76,100 - Utusan Malaysia

Perodua Traz dilancar pada harga bermula dari RM76,100

PERODUA perkenal Perodua Traz, kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua menutup tirai 2025 dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Perodua Traz kenderaan lima tempat duduk yang direka untuk kegunaan bandar serta memenuhi keperluan keluarga moden.

Perodua Traz direka untuk menjadi kenderaan Perodua paling mesra pengguna dengan slogan ‘Engineered Simply’, yang mana SUV itu dibuat mengikut kehendak pemandu Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, dengan harga antara RM76,100 hingga RM82,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans), kenderaan itu dijangka melengkapi rangkaian SUV Perodua seperti Aruz dan Ativa.

“Kami percaya model ini mempunyai pasarannya yang tersendiri dan kami menyasar jualan adalah sekitar 1,900 unit sebulan,” katanya dalam selepas Majlis Pelancaran SUV Perodua di sini. 

Zainal berkata, kos projek kenderaan berkenaan adalah sekitar RM563.3 juta dan dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. di Sungai Choh, Rawang. 

“Perodua Traz mempunyai 95 peratus kandungan tempatan,” katanya. 

Tambahnya lagi, Perodua menjangkakan kenderaan itu akan memberi impak secara positif kepada jumlah pendaftaran kenderaan Perodua untuk 2026 dan seterusnya. 

Penghantaran kenderaan baharu itu dijangka bermula secepat mungkin di Semenanjung Malaysia.

Para pelanggan digalakkan untuk melawat bilik pameran Perodua untuk pandu uji dan membuat tempahan. 

Tahap kecekapan bahan api Perodua Traz adalah sebanyak 21.3 kilometer per liter bergantung kepada Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.

Perodua Traz juga didatangkan dalam beberapa warna termasuklah Cranberry Red, Electric Blue with Black Roof, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.

Antara ciri khas lain yang ada pada kenderaan itu adalah ‘Power Back Door with Kick Sensor’ dan corong penyaman udara di kerusi penumpang belakang.

Perodua Traz dibangunkan berasaskan platform sama dengan Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN, menampilkan panjang 4,310 milimeter, lebar 1,770 milimeter dan jarak roda 2,620 milimeter. Saiz ini menjadikannya lebih besar berbanding Ativa, namun masih lebih kompak daripada Aruz, sekali gus meletakkannya di pertengahan barisan SUV Perodua.

Rangkaian kuasa Traz menggunakan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi D-CVT, iaitu sistem CVT ‘split gear’ pertama di dunia.

Sistem ini menggabungkan pacuan tali sawat dan gear bagi meningkatkan kecekapan bahan api, kelancaran pecutan serta mengurangkan kehilangan tenaga pada kelajuan tinggi.

Transmisi ini turut menawarkan mod manual tujuh nisbah maya selain mod pemanduan Eco, Normal dan Sport.

Kecekapan mekanikal itu disokong oleh berat kenderaan yang rendah, dengan varian tertinggi H mencatat berat sekitar 1,150 kilogram. 

Struktur ringan ini membantu meningkatkan penggunaan bahan api serta kestabilan pemanduan, di samping mengekalkan penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.

Perodua Traz yang ditawarkan dengan dua varian iaitu X dan H tanpa pilihan varian AV.

Varian X dilengkapi lampu hadapan LED automatik dengan fungsi ‘follow me home’, lampu posisi dan lampu belakang LED, serta cermin sisi boleh lipat automatik dengan isyarat belok LED. 

Ia menggunakan rim aloi dua tona 17 inci bersama tayar Toyo Proxes CR1 bersaiz 215/60.

Bagi aspek keselamatan dan kemudahan, Traz dilengkapi brek cakera pada keempat-empat roda, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kamera parkir 360 darjah serta perakam video papan pemuka.

Walaupun tidak ditawarkan dengan trenkuasa hibrid atau varian AV, Perodua menjelaskan penawaran spesifikasi sedia ada dirangka bagi mengekalkan harga kompetitif dan memastikan kedudukan Traz kekal berbeza daripada model Toyota Yaris Cross di pasaran tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN