M K Land Holdings Berhad (M K Land) terus memperkukuh kedudukannya dengan memperkenalkan Miltonia, sebuah projek kediaman mampu milik berkonsep moden dan lestari serta Perdana Centerpoint 3, pembangunan komersial strategik yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu di kawasan Ipoh-Chemor.
Kedua-dua projek ini terletak dalam perbandaran M K Land di koridor utara Ipoh, sebuah kawasan yang kini menunjukkan pertumbuhan pesat dan menerima permintaan tinggi daripada pembeli rumah serta pelabur.
Miltonia, kediaman mampu milik berkualiti untuk keluarga moden menampilkan rumah teres mampu milik (RTMM) dua tingkat yang direka khusus bagi memenuhi keperluan keluarga moden yang mengutamakan ruang kediaman selesa, praktikal dan sesuai untuk perkembangan keluarga.
Setiap unit mempunyai keluasan 1,303 kaki persegi dan dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air, menjadikannya pilihan yang ideal untuk keluarga yang memerlukan ruang lebih luas.
Rekaan dalaman rumah ini menekankan pengudaraan semula jadi dan pencahayaan optimum bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih sihat.
Lokasinya yang strategik berhampiran Teja Perdana turut memastikan pemilik rumah menikmati akses mudah kepada pelbagai kemudahan, termasuk institusi pendidikan, kedai, taman rekreasi dan rangkaian jalan utama yang menghubungkan kediaman ini ke seluruh bandar.
Selaras dengan komitmen M K Land terhadap agenda kelestarian, Miltonia juga direka dengan mengambil kira elemen pembangunan hijau, termasuk penggunaan ruang landskap yang lebih terancang dan persekitaran yang menggalakkan gaya hidup aktif serta komuniti yang harmoni.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap ruang perniagaan, M K Land turut memperkenalkan Perdana Centerpoint 3, rumah kedai dua dan tiga tingkat yang dibangunkan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan berskala kecil dan sederhana di kawasan ini.
Setiap unit menawarkan keluasan 3,336 kaki persegi dan direka dengan susun atur yang fleksibel bagi memenuhi pelbagai jenis keperluan perniagaan, termasuk peruncitan, pejabat profesional, perkhidmatan dan perusahaan makanan.
Kedudukannya yang strategik berhampiran laluan utama Ipoh – Chemor menjadikan Perdana Centerpoint 3 lokasi ideal untuk para usahawan dan pelabur yang ingin memanfaatkan aliran trafik dan perkembangan pesat penduduk di kawasan sekitar.
Pembangunan ini turut berada berhampiran kawasan kediaman matang seperti Meru Perdana 2, yang berpotensi menjadi sumber sokongan pelanggan kepada perniagaan yang akan beroperasi di sini.
Pembangunan komersial ini dijangka memberi rangsangan kepada ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan baharu, peningkatan aktiviti perniagaan dan pembentukan hab komersial baharu di koridor utara Ipoh.
Ketua Pegawai Operasi M K Land – Wilayah Utara, Nazri Tumin turut menekankan aspek pembangunan lestari dalam projek pembangunan M K Land, setiap projek M K Land di koridor utara Ipoh dibangunkan dengan prinsip pembangunan mampan.
“Miltonia dan Perdana Centerpoint 3 direka bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kediaman dan komersial hari ini, tetapi juga untuk menyokong pembangunan perbandaran yang menyeluruh, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi kami dalam membangunkan komuniti yang mapan dan lestari,” katanya.
Nazri berkata, pembangunan ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat untuk memperkasakan kawasan utara, terutamanya Ipoh sebagai hab kediaman dan komersial yang lebih mapan,
“Kami percaya pembangunan lestari harus memberi manfaat bukan sahaja kepada pemilik rumah, tetapi kepada seluruh komuniti. Carissa, Miltonia dan Perdana Centerpoint 3 membuktikan usaha berterusan M K Land untuk mencipta persekitaran hidup yang selesa, mampan dan bernilai tinggi untuk generasi masa depan,” katanya.
Sebagai pemaju yang telah lebih dua dekad bertapak di Perak, M K Land melihat kawasan Ipoh – Chemor sebagai zon pertumbuhan baharu yang berpotensi besar untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
Projek Miltonia dan Perdana Centerpoint 3 merupakan kesinambungan strategi pembangunan syarikat dalam menyediakan pilihan kediaman berkualiti dan premis komersial yang mampu menjana peluang pelaburan untuk penduduk tempatan serta pelabur luar. – UTUSAN










