Pemodenan Terminal 1 ISG, Türkiye perkukuh pertumbuhan Malaysia Airports - Utusan Malaysia

Pemodenan Terminal 1 ISG, Türkiye perkukuh pertumbuhan Malaysia Airports

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports merasmikan Fasa 1 pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) susulan siapnya kerja pemodenan dan pengoptimuman Terminal 1, mencerminkan perancangan dan pelaksanaan infrastruktur yang disusun untuk menyokong pertumbuhan.

Kumpulan pengendali lapangan itu berkata, pelaburan lebih awal bagi memenuhi permintaan penumpang sejajar dengan usaha memperkukuh pendekatan jangka panjang terhadap kapasiti, kecekapan dan daya tahan di seluruh rangkaian lapangan terbangnya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen kumpulan untuk melabur mengikut permintaan serta merancang untuk jangka panjang.

“Kerja pemodenan dan pengoptimuman Terminal 1 di ISG didorong oleh pertumbuhan penumpang yang berterusan dan keperluan untuk memperkukuh kapasiti serta aliran penumpang secara berperingkat dan tersusun.

“Ia mencerminkan cara kami merancang, melabur dan mengendalikan lapangan terbang dalam jangka panjang.

“Pendekatan yang sama membimbing usaha kami di Malaysia, dengan terus menambah baik aset, proses dan kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan masa hadapan sambil mengekalkan piawaian perkhidmatan yang konsisten di seluruh rangkaian,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia Airports berkata, sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Türkiye dan antara hab penerbangan yang paling pesat berkembang di Eropah, ISG telah mencatat pertumbuhan trafik yang berterusan dengan pengendalian lebih 40 juta penumpang setahun.

“Penumpang antarabangsa kini merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang, sekali gus menekankan keperluan untuk memastikan kapasiti dan proses terus seiring dengan permintaan,” ujarnya.

Jelasnya, projek pengembangan bernilai €70 juta (RM334 juta) yang disasarkan siap pada suku kedua 2026 itu, dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara HEAŞ (Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen), Istanbul Sabiha Gökçen International Airport Investment Development and Operation Inc. serta Malaysia Airports.

Kumpulan berkata, projek ini menunjukkan bagaimana perancangan berdisiplin, pelaksanaan berfasa dan kepakaran operasi boleh diaplikasikan dalam persekitaran pertumbuhan tinggi, sama ada di Eropah mahupun dalam rangkaian lapangan terbang Malaysia sendiri.

Majlis perasmian tersebut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Türkiye, Abdulkadir Uraloğlu; Presiden Sekretariat Industri Pertahanan (SSB), Prof. Dr. Haluk Görgün; Gabenor ISG, Halil Avşar; Pengurus Besar HEAŞ, Faruk Kacır serta Mohd Izani, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Türkiye.

Dengan siapnya Fasa 1, kapasiti tahunan gabungan ISG merentasi Terminal 1 dan Terminal 2 akan melebihi 50 juta penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN