Orkim dibuka tidak berubah pada 92 sen di Pasaran Utama - Utusan Malaysia

Orkim dibuka tidak berubah pada 92 sen di Pasaran Utama

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) bersama Pengerusi Orkim Berhad, Datuk Abdul Hamid Sh Mohamed (lima dari kiri) ketika sesi bergambar pada majlis perasmian penyenaraian Orkim Berhad di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad di Bursa Malaysia , Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat logistik maritim, Orkim Bhd. memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan harga pembukaan 92 sen, seiring dengan harga penawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Melalui penerbitan 100 juta saham baharu, Orkim berjaya mengumpul RM92 juta, di mana 87 peratus atau RM80 juta akan digunakan untuk pemerolehan dua kapal tanker kimia dan produk petroleum baharu sebagai sebahagian daripada program pengembangan dan pemodenan armada syarikat.

Sejumlah RM1.15 juta (1.2 peratus) diperuntukkan untuk modal kerja, manakala baki RM10.85 juta (11.8 peratus) digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

IPO ini menandakan penjualan pegangan Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) dalam Orkim. 

Sebelum penyenaraian, Ekuinas, yang pada asalnya memiliki Orkim sepenuhnya telah memindahkan 66.7 peratus kepentingan ekuitinya kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan pemegang amanahnya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula pra-IPO.

Penawaran awam terdiri daripada 33.3 peratus baki pegangan Ekuinas, bernilai RM276 juta, berserta penerbitan saham baharu, menjadikan PNB memegang kira-kira 60 peratus modal saham Orkim selepas penyenaraian.

Transaksi ini adalah sebahagian daripada Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) kerajaan, yang menyatukan institusi pelaburan berfokus bumiputera, termasuk Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024, bertujuan memperkukuh pembangunan syarikat bumiputera.

Pengerusi Orkim Berhad, Datuk Abdul Hamid Sh. Mohamed berkata, harga saham syarikat pada hari penyenaraian di Bursa Malaysia adalah cerminan pasaran dan menasihatkan pelabur untuk menilai dari perspektif jangka panjang.

Katanya, faktor global, termasuk kejatuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan gempa bumi di Jepun, dipercayai mempengaruhi pasaran secara keseluruhan. 

“Harga pembukaan di sini pada 92 sen adalah tepat dan selaras dengan penawaran IPO. Apa yang lebih penting, pelabur perlu melihat dari sudut jangka panjang,” katanya ketika majlis penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, hari ini. 

Beliau berkata, dasar dividen syarikat antara 50 peratus hingga 70 peratus daripada keuntungan selepas cukai, yang dijangka memberikan hasil dividen yang baik apabila syarikat terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang.

“Jadi kita tidak boleh menilai harga saham hanya dalam tempoh lima minit. Fokus jangka panjang adalah kunci untuk pelabur mendapatkan manfaat penuh daripada pertumbuhan syarikat,” tambahnya. 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, penyenaraian Orkim menandakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi ekosistem perusahaan bumiputera dan ia mencerminkan bagaimana kerjasama strategik di antara Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) mampu membina syarikat peneraju kebangsaan yang berdaya saing di persada dunia.

“Menerusi rangka kerja GEAR-uP, institusi seperti Ekuinas dan PNB berganding bahu untuk memajukan syarikat-syarikat berpotensi tinggi dan menjamin pertumbuhan jangka panjang mereka, memastikan nilai ekonomi kekal di dalam negara,” katanya.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, penyenaraian Orkim membuktikan pelaksanaan Bumiputera Relay Race dan menekankan kejayaan inisiatif GEAR-uP. 

“Dengan menyatukan sepenuhnya Orkim di bawah PNB, kami melindungi kesinambungan pemilikan bumiputera menerusi setiap peringkat pertumbuhan sambil menjana pulangan lestari kepada para pemegang unit kami.

“Mercu jaya ini membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi PNB kepada mandatnya dan menggalakkan kemakmuran jangka panjang bagi negara,” katanya. 

Sejak pelaburan Ekuinas pada 2014, Orkim telah berkembang menerusi pelan penciptaan nilai berstruktur dengan momentum yang semakin kukuh, terutamanya selepas memperolehi 5 kapal Produk Petroliam Bersih (CPP) baharu dan kapal tangki julat pertengahan. 

Menerusi usaha pemodenan dan pemulihan angkatan kapal, tadbir urus yang kukuh dan berdisiplin serta perkembangan komersial dan juga kerjasama dengan pihak pengurusan yang mempunyai kepentingan ekuiti, Orkim telah mengukuhkan kedudukan sebagai pemilik-pengendali kapal tangki CPP terbesar di Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat minyak terkemuka di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN