PETALING JAYA: OldTown White Coffee mengumumkan pelaksanaan pembaharuan strategik berskala besar bagi meningkatkan kualiti makanan, memperkukuh inovasi serta memantapkan kecekapan rantaian bekalan dengan memperkaya pengalaman pelanggan di semua cawangan rangkaian kopitiam berusia 20 tahun itu.
Inisiatif tersebut menandakan langkah penting dalam usaha syarikat memastikan setiap hidangan yang disajikan kekal autentik, bernilai dan konsisten di tengah-tengah persaingan sengit industri makanan dan minuman (F&B).
Pengurus besarnya, Alex Chuah berkata, pembaharuan tersebut adalah sejajar dengan keutamaan pelanggan masa kini.
“Sebagai perintis kafe kopitiam moden, kami komited menyampaikan hidangan kegemaran yang tulen dan mampu milik dengan sentuhan kontemporari.
“Strategi baharu ini mencerminkan nilai yang paling dihargai peminat setia iaitu kualiti dan kemampuan,” katanya.
Menurutnya, pengenalan bahan yang disedia mengikut pesanan untuk hidangan istimewa serta kerjasama dengan rangkaian pembekal profesional akan menambah baik kualiti serta menyemarakkan inovasi menu bagi tahun-tahun mendatang.
“Model rantaian bekalan yang dipermudahkan ini akan meningkatkan perkhidmatan kepada cawangan dan rakan francais di Malaysia serta memudahkan pengembangan di peringkat antarabangsa.
“Sebagai rangkaian kopitiam halal terbesar di Malaysia, OldTown White Coffee kini bekerjasama dengan rangkaian pembekal profesional untuk bahan-bahan teras.
“Pendekatan baharu ini membolehkan jenama berkenaan memanfaatkan kepakaran R&D dan teknologi pembuatan moden pembekal industri bagi meningkatkan kualiti dan inovasi produk,” katanya.
Syarikat turut merumuskan semula bahan terasnya kepada format penyimpanan suhu bilik dengan mengurangkan pergantungan kepada logistik rantaian sejuk.
Langkah ini bukan sahaja memendekkan masa penghantaran serta menjimatkan kos, malah membuka laluan untuk pengembangan lebih luas di pasaran tempatan dan serantau.-UTUSAN









