PETALING JAYA: ChemOne Group (ChemOne) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pengerang Energy Complex Sdn. Bhd. (PEC) merangkap Penasihat kepada kumpulan itu.
Pelantikan Nazri dilihat signifikan memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, memegang beberapa portfolio penting peringkat nasional serta menyandang jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Pengalaman luas beliau dalam hubungan antarabangsa, dasar kerajaan serta pemahaman mendalam terhadap pembangunan ekonomi strategik menjadikan penyertaannya sebagai aset penting kepada kemajuan fasa seterusnya PEC.
Ketua Pegawai Eksekutif PEC, Alwyn Boden berkata, pelantikan Nazri tiba pada waktu yang tepat ketika ChemOne memasuki fasa seterusnya pembangunan projek serta usaha memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan.
Menurut beliau, penyertaan Nazri menegaskan komitmen kumpulan terhadap ketelusan, kerjasama erat dengan pihak berkepentingan tempatan dan pelaksanaan projek bertaraf dunia yang memberi manfaat kepada pembangunan industri negara.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan Datuk Seri Nazri ke Lembaga PEC dan keluarga ChemOne.
“Gabungan pengalaman perkhidmatan awam, kemahiran diplomasi serta pemahaman beliau mengenai ekosistem pelaburan Malaysia akan mengukuhkan keyakinan pihak berkepentingan, memacu penyampaian projek dan mempertegas komitmen jangka panjang kami terhadap Pengerang serta rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Nazri berkata, PEC mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan transformatif dalam landskap industri dan ekonomi Malaysia.
“Saya berbesar hati untuk menyokong PEC dan ChemOne dalam usaha penting ini dan berharap dapat membantu memajukan pembangunan strategik tersebut,” katanya.
Dalam peranan baharunya, Nazri akan menumpukan panduan strategik kepada ChemOne dalam isu berkaitan Malaysia serta mengetuai penglibatan bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan PEC berjalan lancar, tersusun dan menepati jadual. – UTUSAN










