PETALING JAYA: Konsortium yang diterajui pengeluar kabel terkemuka Korea Selatan, LS Cable & System Ltd bersama MN Holdings Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM177.36 juta daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi menaik taraf sistem kabel kuasa dasar laut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MN Holdings berkata anak syarikatnya, MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. memiliki 10 peratus kepentingan dalam konsortium tersebut.
“LS Cable & System pula memegang 89 peratus kepentingan manakala baki 1 peratus dipegang oleh Pembinaan Tajri Sdn. Bhd.,” katanya.
Menurut MN Holdings, skop kontrak itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem kabel 132-kilovolt dari pencawang pengambilan utama di Kuala Perlis ke pencawang pengambilan utama No. 1 di Teluk Apau, Langkawi.
Syarikat kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata, projek berkenaan merangkumi kerja pembekalan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan sistem kabel dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 15 bulan.
“Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan,” katanya.
Pemberian kontrak tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan MN Holdings dalam segmen kejuruteraan utiliti dan infrastruktur tenaga, selain mencerminkan keyakinan berterusan TNB terhadap keupayaan teknikal konsortium berkenaan dalam melaksanakan projek berskala besar dan kritikal. – UTUSAN










