KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk berumur satu tahun dan ke atas yang berhijrah pada 2024 meningkat hampir dua kali ganda kepada 301,100 orang berbanding 158,800 orang pada 2022, dengan kadar migrasi meningkat kepada 0.9 peratus daripada 0.5 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan migrasi penduduk mencerminkan perubahan sosial dan ekonomi negara yang semakin tertumpu kepada kawasan bandar sebagai pusat pertumbuhan, peluang pekerjaan dan penempatan penduduk.
“Migrasi dalaman kekal sebagai komponen utama dengan mencatatkan 63.5 peratus pada 2024, meningkat berbanding 62.3 peratus pada 2022.
“Dalam pada itu, Johor merekodkan peratusan migran dalam negeri tertinggi iaitu 70.3 peratus, diikuti Selangor sebanyak 69.5 peratus dan Sabah sebanyak 68.7 peratus, manakala W.P. Putrajaya mencatatkan peratusan terendah sebanyak 11.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, aliran migrasi dalaman pada 2024 didominasi oleh perpindahan dari bandar ke bandar dengan peratusan 84.6 peratus, meningkat berbanding 79.3 peratus pada 2022.
“Keadaan ini menunjukkan tumpuan migrasi yang semakin ketara di kawasan bandar, sejajar dengan peranan bandar sebagai pusat ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Selangor kekal sebagai negeri penerima migran utama dengan jumlah migran masuk tertinggi seramai 97,600 orang serta lebihan migrasi sebanyak 8,400 orang, manakala W.P. Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kekal sebagai negeri penghantar migran utama pada 2024,” katanya.
Sementara itu, migrasi antarabangsa mencatatkan penurunan kepada 6.3 peratus berbanding 7.4 peratus pada 2022, walaupun beberapa negeri termasuk Perak, Sabah dan Terengganu merekodkan peningkatan migran antarabangsa.
Dari sudut demografi, kumpulan umur 25 hingga 34 tahun mendominasi migrasi dalaman pada 2024 dengan 47.7 peratus, manakala lelaki mencatatkan peratusan lebih tinggi iaitu 57.5 peratus.
Faktor mengikut keluarga kekal sebagai sebab utama migrasi dalaman, diikuti persekitaran dan kerjaya. – UTUSAN










