Mesiniaga raih kontrak RM19.8 juta sokong PdP di Sarawak Utara

Mesiniaga raih kontrak RM19.8 juta sokong PdP sekolah di Sarawak Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesiniaga Berhad meraih kontrak bernilai RM19.82 juta bagi menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan teknologi maklumat kepada sekolah-sekolah di Sarawak Utara, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam segmen penyelesaian digital pendidikan.

Menurut makluman kepada bursa, syarikat menandatangani dan menerima surat setuju terima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 15 Disember 2025 bagi Fasa 4 Perkhidmatan Sewaan Komputer Riba, Pencetak Warna Pelbagai Fungsi, Projektor serta Troli Pengecasan secara pajakan untuk digunakan.

Kontrak berkenaan melibatkan nilai sebanyak RM19.8 juta, tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan tempoh pelaksanaan selama 65 bulan bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Mei 2031 dan meliputi Zon 7 (Sarawak Utara).

Menurut Mesiniaga, kontrak tersebut bertujuan menyokong keperluan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di makmal komputer sekolah selaras dengan usaha pendigitalan pendidikan negara.

Dari segi risiko, syarikat menjelaskan cabaran utama tertumpu kepada pematuhan tahap perkhidmatan serta garis masa yang ditetapkan oleh pelanggan, namun langkah mitigasi telah dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan kontrak berjalan lancar.

Mesiniaga turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak tersebut.

Lembaga pengarah berpandangan kontrak berkenaan adalah sebahagian daripada urusan biasa perniagaan dan selari dengan kepentingan terbaik syarikat.

Dari sudut kewangan, kontrak bernilai hampir RM20 juta itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga kontrak berkenaan tamat, tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN