PETALING JAYA: Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade), pengendali perkhidmatan e-dompet dan kewangan terkemuka di Malaysia, kini secara rasmi diiktiraf sebagai Pengeluar Yang Diluluskan bagi Instrumen Pembayaran Yang Ditetapkan (DPI) untuk Sabah.
Pengesahan penting itu, yang dimeterai oleh Menteri Sumber Manusia di bawah Ordinan Buruh Sabah, melengkapkan kelulusan sedia ada Merchantrade untuk Semenanjung Malaysia sejak 1 Ogos 2024.
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, pemberian kuasa itu adalah satu langkah monumental, memperkukuhkan Merchantrade sebagai penyedia perkhidmatan terkemuka yang memacu revolusi gaji digital.
“Ini disokong dengan penyelesaian yang inklusif dan dilengkapi dengan ekosistem sentuhan fizikal yang betul untuk menyampaikan penyelesaian transformasi kami secara lancar di seluruh Sabah.
“Peralihan kepada gaji digital membawa ketelusan dalam pembayaran gaji, serta bagaimana Merchantrade bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyampaikan pembayaran perlindungan keselamatan sosial terus kepada pekerja.
“Ia sekali gus bagi memastikan ketelusan kewangan yang lebih pantas dan baik,” katanya dalam kenyataan.
Mandat baharu untuk Sabah yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2025, membolehkan majikan di Sabah menggunakan penyelesaian inovatif Merchantrade.
Ini seperti portal gaji dan e-dompet Merchantrade Money, untuk mengurus pembayaran gaji pekerja asing mereka sepenuhnya selaras dengan undang-undang buruh Malaysia.
Sementara itu, mengakui cabaran yang dihadapi majikan dalam mengurus gaji pekerja asing secara tradisional, Merchantrade menyediakan penyelesaian sehenti untuk kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja dalam ekosistem yang bersepadu.
“Kelulusan Sabah adalah amat penting memandangkan struktur geografi dan ekonomi negeri yang luas.
“Sabah merangkumi 7.4 juta hektar, dengan kira-kira 1.7 juta hektar terdiri daripada ladang, yang menimbulkan cabaran logistik sebenar.
“Disebabkan saiznya, kedua-dua pekerja dan majikan biasanya bergantung kepada wang tunai untuk pembayaran gaji, pekerja sering terpaksa menempuh jarak yang sangat jauh untuk membuka akaun bank dan kebanyakan majikan memilih untuk menggunakan tunai.
“Situasi ini menimbulkan risiko keselamatan yang besar bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata, -dompet Merchantrade merupakan penyelesaian digital terbaik, membolehkan pembayaran gaji secara terus, pemindahan wang segera dan meningkatkan keselamatan untuk transaksi harian.
“Tambahan pula, pekerja masih boleh mengakses wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan kad VISA yang dipasangkan, memastikan fleksibiliti dan keterangkuman,” ujarnya.
E-dompet Merchantrade Money merupakan satu set ciri yang kukuh, termasuk pemindahan wang, tambah nilai mudah alih, mikro-insurans dan pembayaran Kod Respons Pantas (QR), yang direka khusus untuk memenuhi keperluan komuniti pekerja migran dan golongan tanpa akaun bank.-UTUSAN










