Malaysia raih tahap tertinggi pencegahan kewangan dunia - Utusan Malaysia

Malaysia raih tahap tertinggi pencegahan kewangan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kini dalam kelompok elit negara dengan sistem pencegahan jenayah kewangan terbaik dunia selepas meraih status Regular Follow-Up, iaitu tahap tertinggi dalam proses penilaian bersama (ME) oleh Pasukan Tindakan Kewangan (FATF).

Dalam pusingan sebelum ini, hanya 11 negara lain yang mencapai pengiktirafan ini selepas selesai penilaian mereka.

Pengiktirafan tersebut diberikan hasil daripada Laporan Penilaian Bersama (MER) oleh FATF dan Kumpulan Asia/Pasifik bagi Pengubahan Wang Haram (APG), sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama melepasi penilaian dalam pusingan baharu ini.

Sebelum ini, Malaysia berada dalam status Enhanced Follow-Up yang dikenakan apabila penambahbaikan yang besar diperlukan, melibatkan semakan yang lebih terperinci dan lebih kerap iaitu dua tahun sekali.

Dalam status Regular Follow-Up, proses penilaian dipanjangkan kepada tiga tahun sekali kerana negara telah melepasi proses pemantauan standard dalam kebanyakan bidang yang dinilai.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen dan usaha seluruh negara dalam memelihara integriti sistem kewangan serta memerangi pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

“Bagi pihak Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (NCC), kami mengalu-alukan penerbitan MER tersebut dan akan terus memperkukuh keyakinan global terhadap sektor kewangan Malaysia.

“Ini secara tidak langsung memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Susulan penerbitan MER, NCC akan membangunkan dan melaksanakan strategi serta pelan tindakan kebangsaan yang komprehensif bagi menangani risiko dan melaksanakan saranan daripada laporan tersebut ke arah memperteguh kerangka AML/CFT/CPF negara.

Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian positif yang memberangsangkan dalam usaha untuk membanteras dan memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (ML/TF/PF).

Berbanding dengan ME terdahulu pada 2015, peningkatan status ini mencerminkan tahap pematuhan teknikal yang kukuh oleh Malaysia serta pembanterasan ML/TF/PF yang semakin berkesan.

Abdul Rasheed berkata, pencapaian ini merupakan pengiktirafan penting oleh komuniti antarabangsa terhadap pendekatan menyeluruh Malaysia dalam memerangi ancaman pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

“Pencapaian ini mengukuhkan keyakinan global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang selamat dan telus, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran jangka panjang.

“Ia juga memudahkan kemasukan pelaburan ke Malaysia dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi syarikat tempatan.

“Kejayaan ini adalah hasil pendekatan seluruh negara yang diambil dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memperkukuh rangka kerja integriti kewangan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN