KUALA LUMPUR: Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. (Hwajing) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pelayaran antarabangsa apabila memeterai kerjasama strategik bersama Astro Ocean Cruise (Astro Ocean) bagi membawa kapal persiaran M/V Piano Land ke Malaysia.
Kerjasama yang dimeterai pada November lalu itu menyaksikan kapal persiaran milik China berkenaan mula belayar ke beberapa destinasi terkenal termasuk Pulau Pinang dan Langkawi, selain Phuket, Thailand serta Hong Kong sepanjang Disember ini, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai ‘home port’.
Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong berkata, pencapaian tersebut merupakan kejayaan kedua syarikat selepas mengendalikan sebuah kapal persiaran dari Itali pada tahun lalu.
Menurut beliau, kejayaan membawa M/V Piano Land keluar dari China buat kali pertama adalah satu pencapaian besar bukan sahaja kepada Hwajing, malah kepada industri pelancongan negara.
“Ini adalah pelayaran kedua M/V Piano Land ke Malaysia. Pelayaran pertama pada Mac lalu lebih kepada tujuan promosi awal apabila kami menjemput pempengaruh dan ejen pelancongan untuk merasai pengalaman pelayaran tersebut.
“Bermula bulan ini, kapal ini secara rasmi membawa penumpang ke beberapa destinasi utama termasuk Langkawi, Phuket dan Hong Kong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kenny yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam industri pelayaran dan memulakan kerjayanya sebagai ejen pelancongan berkata, beliau amat berbangga kerana berjaya membawa kapal persiaran milik China itu berlabuh di Pelabuhan Klang.
“Ini merupakan kali pertama kapal ini belayar di luar China. Sebelum ini, ia hanya beroperasi untuk pasaran domestik negara tersebut. Justeru, kami amat berbangga dapat menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke Asia Tenggara,” jelasnya.
Beliau berkata, perbincangan dengan pihak China bermula sejak September tahun lalu, namun perancangan tersebut berdepan cabaran besar susulan pandemik Covid-19 yang menjejaskan operasi industri pelayaran global.
“Kapal ini diambil alih oleh Astro Ocean pada 2019, tetapi tidak lama kemudian dunia dilanda pandemik. China pula antara negara yang lewat membuka sempadan. Namun, syarikat tetap bertahan dalam persekitaran industri yang amat mencabar,” katanya.
Mengulas sasaran penumpang, Kenny berkata, pihaknya menjangkakan lebih 15,000 penumpang bagi pelayaran sepanjang Disember ini dan sasaran tersebut dilihat realistik berdasarkan sambutan yang diterima.
Buat masa ini, kontrak pelayaran hanya melibatkan tempoh sebulan, namun perbincangan sedang dijalankan untuk meneruskan operasi pada tahun hadapan.
“Ia bergantung kepada keadaan pasaran, namun rakan niaga kami memberi bayangan positif dan saya yakin M/V Piano Land akan kembali beroperasi di Malaysia tahun depan,” katanya.
Menurut Kenny, antara keunikan M/V Piano Land ialah konsep percutian mesra Muslim yang ditawarkan, termasuk ketiadaan kasino di atas kapal serta penyediaan makanan halal.
“Salah satu dapur di kapal ini telah memperoleh pensijilan sertu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dalam proses mendapatkan sijil halal.
“Industri pelayaran Muslim masih mempunyai potensi besar dan belum diterokai sepenuhnya. Kami yakin pasaran pelancong Muslim global mempunyai permintaan tinggi terhadap pelayaran yang patuh syariah,” katanya.
Tambah beliau, dengan harga pakej kurang RM1,000 seorang, penumpang dapat menikmati pelbagai kemudahan termasuk hiburan, persembahan kebudayaan, makanan dan minuman, membeli-belah, sukan serta spa.
“Kejayaan ini juga amat bermakna buat Hwajing sempena sambutan ulang tahun ke-36 syarikat pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










