PETALING JAYA: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) melantik lima tokoh usahawan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) persatuan itu bagi memberi nafas baharu tenaga muda sebagai pelapis pimpinan DPIM pada masa hadapan.
Presiden DPIM, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, menerajui senarai pelantikan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah yang merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) serta Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
“Selain mengemudi perniagaan pemasaran rangkaian, beliau memegang portfolio penting sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMK BV Sdn. Bhd. , Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan serta merupakan penerima anugerah Tokoh Usahawan Muallaf Kebangsaan 2023 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM.
“DPIM turut melantik Pengarah Urusan Bubbles O2 Group of Companies, Ain Azizah Arifin, yang memiliki latar belakang akademik Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Keusahawanan) dari University of Victoria, Kanada.
“Beliau berjaya meletakkan Bubbles O2 sebagai jenama air mineral oksigen semula jadi tunggal negara yang meraih pengiktirafan BrandLaureate Entrepreneur of the Year 2024 dan Superbrands Malaysia 2025.
“Di bawah kepimpinan beliau, syarikat ini menjadi penaja utama bagi acara sukan dan perdagangan berprestij termasuk MIHAS, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), serta Petronas Le Tour de Langkawi selama tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam kenyataan.
Seterusnya, beliau berkata, turut dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Ehsan Renal Care Sdn. Bhd., Dr. Hazimi Hamzah yang akan membawa dimensi kepakaran dalam sektor kesihatan dan strategi korporat.
Ujarnya, Hazimi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Volgograd State Medical University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan pencapaian Anugerah Inovasi Terbaik.
“Beliau juga memegang kelayakan sebagai Certified Medical Impairment Assessor (CMIA) dan telah membawa syarikatnya meraih pengiktirafan SME Top 100 Fast Moving Companies serta #1 ASEAN Award 2023.
“Turut memperkukuh barisan kepimpinan ialah Ketua Pegawai Eksekutif CIC Group of Companies dan pemilik Abedeen Academy, Ali Haidar Azizi yang merupakan graduan Kejuruteraan Awam dari City University of London.
“Beliau telah memacu pemodenan operasi rangkaian prasekolah CIC yang kini berkembang luas kepada hampir 100 cawangan di seluruh negara.
“Beliau juga menerajui Abedeen Academy di Cyberjaya, sebuah sekolah antarabangsa yang menawarkan kurikulum holistik bagi melahirkan modal insan berintegriti Islam yang mampu bersaing di pentas dunia,” ujarnya.
Melengkapkan barisan AMT baharu itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group Sdn. Bhd., Adam Richman, merupakan pakar strategi perniagaan bertauliah dari Harvard Business School dan Profesor Adjunct di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Sebagai tokoh penjenamaan dan media, beliau telah membantu lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agensi kerajaan melalui strategi pemasaran kreatif.
“Beliau juga aktif dalam kempen kebajikan ummah yang berjaya mengumpul dana jutaan ringgit bagi pembinaan masjid di seluruh Malaysia menerusi inisiatif strategik KNKV Group,” katanya.
Lantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta dan diharapkan dapat memacu DPIM ke arah pencapaian ekonomi ummah yang lebih kompetitif dan mampan bagi penggal akan datang. – UTUSAN










