PETALING JAYA: Skor tinggi dalam aspek kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta hak asasi manusia mendorong pengesahan Fitch Ratings yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan itu turut diperkukuh oleh prestasi cemerlang Malaysia dalam penunjuk utama alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), di mana negara mencatatkan skor melebihi median global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia telah berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif yang mencorakkan sebahagian besar tahun 2025 yang berakhir dengan satu perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport serta memperkukuh kedudukan ekonomi kita.
“Walaupun keadaan global kekal mencabar, Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Kerajaan Madani telah memperkenalkan beberapa reformasi utama termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850), Akta Perolehan Kerajaan 2025, serta Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025, yang dijangka mengukuhkan kawal selia serta memastikan asas institusi negara terus teguh.
Sebelum ini, Fitch menekankan bahawa kestabilan politik menjadi tunjang kepada peningkatan kepastian dasar, mewujudkan kitaran murni yang memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan memperkukuh daya tahan fiskal.
Menurutnya, kestabilan politik yang semakin kukuh sejak dua tahun kebelakangan ini telah mewujudkan kepastian dasar yang lebih mantap, seterusnya memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan mempertingkat daya tahan fiskal negara.
Namun demikian, agensi penarafan antarabangsa itu berkata kekuatan itu diimbangi oleh paras hutang awam yang tinggi, asas hasil kerajaan yang lebih rendah serta kecairan luaran yang lebih lemah berbanding negara setara.
Prospek stabil mencerminkan jangkaan bahawa nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya akan menurun secara beransur-ansur dalam jangka sederhana, disokong oleh komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal.
Agensi itu menjangkakan KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus pada tahun ini, sebelum menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2026 dan meningkat sedikit kepada 4.2 peratus pada 2027.
Katanya, keadaan pasaran buruh yang kukuh dan kenaikan gaji dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah, dengan momentum berkemungkinan kekal hingga 2026.
“Peningkatan 13.2 peratus tahun ke tahun dalam jumlah projek pelaburan yang diluluskan bagi tiga suku pertama tahun ini turut menunjukkan prospek pelaburan yang kukuh menjelang 2026.
“Bagaimanapun, kejutan positif eksport pada 2025 yang disebabkan oleh kitaran teknologi global dan aktiviti “front-loading” dijangka sederhana pada 2026 apabila kesan itu mula berkurangan,” katanya.
Walaupun ketidaktentuan dasar perdagangan sedikit reda selepas Malaysia memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), Fitch memberi amaran bahawa risiko penurunan masih wujud, termasuk permintaan luar yang lebih lemah serta kemungkinan pengenaan tarif AS ke atas semikonduktor—yang merangkumi hampir 30 peratus eksport Malaysia ke AS dan ketika ini dikecualikan daripada tarif.
Kadar tarif timbal balas terhadap eksport Malaysia ke AS kini pada paras 19 peratus.
Dari segi penyatuan fiskal, Fitch berpendapat sasaran defisit tiga peratus daripada KDNK di bawah Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 (PFFRA) menjelang 2028 boleh dicapai sekiranya rasionalisasi subsidi dan peluasan hasil yang sederhana dapat dikekalkan.
“Penyatuan fiskal yang lebih pantas, khususnya melalui pembaharuan cukai yang lebih mendalam, kekal mencabar dari sudut politik kerana kerajaan perlu mengimbangi kepentingan pelbagai pihak dalam gabungan pemerintah serta tekanan perbelanjaan sosial,” katanya.
Fitch mengunjurkan defisit kerajaan Persekutuan mencecah 3.8 peratus pada 2025, menurun daripada 5.5 peratus pada 2022, disokong kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih kukuh dan reformasi subsidi.
“Defisit ini dijangka menguncup kepada 3.5 peratus pada 2026, sejajar dengan belanjawan.
“Dalam masa sama, hasil Kerajaan Persekutuan dijangka menurun kepada 16.3 peratus daripada KDNK pada 2026 berbanding anggaran 16.5 peratus pada 2025, apabila peningkatan daripada SST yang diperluas dan pelaksanaan e-invois diimbangi oleh hasil berkaitan petroleum yang lebih lemah.
“Kemungkinan dividen lebih rendah daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), bergantung kepada rundingan dengan Petroleum Sarawak Bhd berhubung kawalan perniagaan pengedaran gas asli di negeri tersebut,” katanya.
Tambah agensi itu, nisbah hutang kerajaan am kepada KDNK dijangka memuncak pada 77 peratus pada 2025 susulan defisit kewangan yang besar dan deflator KDNK yang sederhana, sebelum menurun secara beransur-ansur kepada sekitar 74 peratus pada 2029.
“Angka kami termasuk jaminan berkomitmen sebanyak kira-kira 11.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2025.
“Hutang kerajaan Persekutuan (63.5 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2025) berkemungkinan kekal melebihi sasaran 60 peratus yang ditetapkan PFFRA dalam jangka sederhana.
“Kami juga menganggarkan bayaran faedah bersamaan 13.5 peratus daripada hasil kerajaan am pada 2025, berbanding median 9.2 peratus bagi negara dengan penarafan ‘BBB’,” katanya. – UTUSAN










