PETALING JAYA: LJP Kitchen Sdn Bhd melalui jenamanya, Kakatoo F&B Group bersama ALAA Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan DOSZ Coffee memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) ketiga-tiga organisasi bagi memperkukuh keusahawanan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Sebagai inisiatif permulaan, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama melalui Program Perniagaan Tart Telur Natalah, di mana pembiayaan sebanyak RM15 juta disediakan oleh institusi pembiayaan kepada 1,000 usahawan terpilih dalam program ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kakatoo F&B Group, Joyce Chong berkata, Program Natalah bermula daripada satu pemerhatian mudah, tart telur adalah produk kegemaran ramai dan mudah dibeli.
“Kakatoo mengambil idea ini dan mengubah dan menjadikannya sebagai satu perniagaan mikro berasaskan modal rendah dan pusingan jualan pantas, sesuai untuk pengusaha kantin serta kafe tempatan sebagai perniagaan tambahan,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani MoU itu ditandatangani oleh Joyce Chong; CEO ALAA Consultancy, Husna Nashim serta Pengarah W Capital Privy Equity Sdn. Bhd., Adib Halim Azmi bagi pihak DOSZ Coffee. Majlis disaksikan oleh Pengerusi ALAA, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Menerusi kerjasama itu, Kakatoo menyediakan pakej operasi lengkap merangkumi peralatan, rantaian bekalan, pelesenan dan latihan, ALAA akan mengetuai strategi kewangan, pemilihan usahawan, tadbir urus program dan penyusunan komersial manakala DOSZ Coffee bertindak sebagai platform runcit bagi pelaksanaan program secara meluas.
Ia turut bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan F&B di Malaysia melalui model perniagaan yang teratur, berskala dan disokong secara profesional. – UTUSAN










