PETALING JAYA: Pasaran buruh negara terus menunjukkan prestasi stabil apabila kadar pengangguran kekal pada paras 3.0 peratus pada Oktober 2025, dengan bilangan penganggur meningkat kepada 518,900 orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, corak positif itu disokong oleh aktiviti ekonomi yang rancak serta pertumbuhan guna tenaga yang kukuh sepanjang bulan berkenaan.
Katanya, tenaga buruh negara meneruskan momentum peningkatan apabila bertambah 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.58 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.9 peratus seperti September lalu.
“Bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Oktober, naik 0.2 peratus kepada 17.06 juta orang berbanding 17.03 juta pada bulan sebelumnya.
“Jumlah penganggur pula mencatatkan kenaikan marginal sebanyak 0.1 peratus kepada 518,900 orang, namun kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kategori pekerja kekal sebagai komponen terbesar penduduk bekerja, merangkumi 74.8 peratus atau 12.76 juta orang, meningkat 0.1 peratus berbanding September, manakala bilangan individu bekerja sendiri pula turut bertambah 0.4 peratus kepada 3.25 juta orang.
“Bilangan penduduk bekerja kurang 30 jam seminggu terus berkurang 1.4 peratus kepada 233.2 ribu orang. Guna tenaga tidak penuh berkaitan masa juga menyusut 1.7 peratus kepada 126.4 ribu orang, dengan kadar 0.7 peratus.
“Penganggur aktif iaitu yang bersedia bekerja serta aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.7 peratus daripada jumlah penganggur, meningkat sedikit kepada 413,800 orang,” katanya.
Selain itu, sebanyak 64.5 peratus merupakan individu yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.0 peratus adalah penganggur jangka panjang melebihi setahun.
“Penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia bertambah kepada 105,100 orang.
“Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.1 peratus, dengan 297,600 belia menganggur pada Oktober 2025,” katanya. – UTUSAN










