PETALING JAYA: JBL memperkenalkan JBL PartyBox 720, model baharu dengan kuasa bunyi 800 watt (W) JBL Pro Sound serta dilengkapi penggalak bunyi berteknologi kecerdasan buatan (AI) (AI Sound Boost) untuk pengalaman audio lebih mantap dan bertenaga.
Direka untuk kegunaan di dalam dan luar rumah, PartyBox 720 tampil dengan pertunjukan cahaya generasi terbaharu, roda lebih kukuh dan pemegang ergonomik bagi memudahkan pergerakan.
Menariknya, model ini turut hadir dengan dua bateri boleh ganti, membolehkan pengguna menikmati muzik lebih lama tanpa risau kehabisan kuasa.
Dua pembesar suara bass (woofer) sembilan inci dan dua pembesar suara frekuensi tinggi (tweeter) 30 milimeter (mm) mampu menghasilkan bass yang tepat dan bersih walaupun pada kelantangan maksimum.
Teknologi AI Sound Boost pula bekerja secara masa nyata untuk mengoptimumkan audio mengikut keadaan, memastikan setiap lagu kedengaran lebih jelas dan bertenaga.
Pengguna juga boleh menghubungkan dua PartyBox 720 bagi mendapatkan kesan stereo atau menyambungnya ke mana-mana pembesar suara berteknologi Auracast™ untuk pengalaman bunyi lebih luas.
Pembesar suara ini turut dilengkapi sistem pencahayaan dinamik yang boleh diubah kepada mod berbintang, strob atau disegerakkan mengikut rentak muzik.
Semua kawalan audio dan cahaya boleh dilakukan menerusi Aplikasi JBL PartyBox.
Dibina untuk aktiviti lasak, PartyBox 720 hadir dengan penarafan kalis percikan IPX4, sesuai digunakan di taman atau halaman rumah.
Reka bentuk baharu dengan roda lebih besar dan pemegang ergonomik memudahkan ia dibawa ke mana saja.
Model ini didatangkan dengan dua bateri JBL 600, menawarkan sehingga 15 jam masa bermain bagi setiap bateri, serta tambahan dua jam dengan hanya 10 minit pengecasan pantas.
JBL PartyBox 720 akan berada di pasaran pertengahan Disember ini pada harga RM4,999, dan boleh didapati melalui laman web rasmi JBL serta platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee. – UTUSAN










