PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) melantik Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026, selari dengan peralihan presint Merdeka 118 ke fasa pembangunan seterusnya.
Pelantikan itu dibuat ketika Merdeka 118 memasuki tahap pengaktifan sebagai pembangunan bersepadu bertaraf antarabangsa yang menggabungkan komponen komersial, kebudayaan, warisan dan komuniti, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemacu ekonomi bandar Kuala Lumpur.
Izwan memiliki lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan merentasi pelbagai organisasi utama negara termasuk Petronas, Kumpulan Syarikat KLCC dan Putrajaya Holdings, dengan kepakaran dalam pembangunan hartanah dan presint berskala besar, pengurusan aset strategik serta pelaksanaan inisiatif penambahbaikan operasi dan pendigitalan.
Sebelum menyertai PNBMV, beliau berkhidmat sebagai CEO Putrajaya Holdings dan menerajui portfolio perniagaan merangkumi segmen kediaman, komersial, runcit, hospitaliti dan utiliti.
Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Eksekutif KLCC Urusharta yang bertanggungjawab mengurus operasi serta nilai jangka panjang aset ikonik negara termasuk Menara Berkembar Petronas dan keseluruhan Presint KLCC.
Di PNBMV, Izwan akan memimpin perancangan serta pelaksanaan fasa seterusnya pembangunan Merdeka 118 dengan fokus kepada pengaktifan tarikan utama seperti 118 Mall, dek pemerhatian The View at 118, Muzium Tekstil Merdeka serta beberapa komponen lain yang sedang dirancang.
Keutamaan turut diberikan kepada pemantapan kecekapan operasi dan pengoptimuman nilai aset bagi membangunkan ekosistem bandar yang dinamik dan saling berhubung.
Izwan berkata, Merdeka 118 bukan sekadar pembangunan infrastruktur bertaraf dunia, malah berperanan menjana nilai ekonomi dan sosial melalui pembaharuan bandar, sokongan kepada pertumbuhan ekonomi mampan serta pengukuhan hubungan komuniti.
“Tahun 2026 akan menjadi fasa penting dengan pembukaan beberapa tarikan utama yang dijangka menghidupkan presint ini. Dengan memanfaatkan inovasi dan teknologi digital serta meletakkan komuniti sebagai teras, Merdeka 118 berpotensi menetapkan penanda aras baharu pembangunan bersepadu di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pengalaman luas Izwan dalam menerajui pembangunan bernilai tinggi selari dengan aspirasi jangka panjang Merdeka 118.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud atas kepimpinan selama 15 tahun sejak peringkat awal projek yang menjadi asas kepada kejayaan presint berkenaan.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen PNBMV terhadap tadbir urus dan kepimpinan strategik dalam usaha memperkukuh Merdeka 118 sebagai destinasi global serta nadi aktiviti ekonomi dan kebudayaan negara,” katanya. – UTUSAN










