IOI Properties lancar 101 Industrial Park @ Banting dengan GDV 1.8 bilion - Utusan Malaysia

IOI Properties lancar 101 Industrial Park @ Banting dengan GDV 1.8 bilion

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan (tiga dari kanan) ketika majlis perasmian IOI Industrial Park @ Banting di Banting, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) melancarkan taman perindustrian baharu, 101 Industrial Park @ Banting (IOIIPB), dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.8 bilion dalam tempoh lima tahun kepada segmen industri kumpulan.

Taman perindustrian seluas 130.3 hektar yang terletak 15 kilometer dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) itu menjadikannya lokasi strategik bagi industri yang bergantung kepada kargo udara seperti barangan mewah, elektronik bernilai tinggi serta bahan farmaseutikal.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan berkata, taman perindustrian itu turut menawarkan bekalan kuasa berskala tinggi, dengan dua talian 275 kilo-watt-ampere (kVA) dan 33 kVA. 

“Keupayaan tenaga ini menjadikannya sesuai untuk industri berintensif tenaga termasuk pusat data dan pembuatan berteknologi tinggi.

“Setakat ini, fasa pertama pembangunan melibatkan 103 unit kilang dan gudang dijangka siap sepenuhnya pada 2027. 

“Sambutan bagi fasa kedua pula amat menggalakkan, dijangka ia dapat dipasarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 101 Industrial Park @ Banting (IOIIPB) di Banting semalam.

Chin Guan berkata, bagi perancangan 2026, fokus pembangunan akan diberikan kepada sektor pembuatan maju seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif, aeroangkasa serta industri minyak. 

“Sektor perkhidmatan pula akan memberi tumpuan kepada ekonomi digital serta logistik, selaras dengan keperluan pasaran moden.

“Taman perindustrian ini juga menampilkan beberapa kelebihan kompetitif, termasuk pensijilan GreenRE, menjadikannya pilihan pelabur global yang menekankan kelestarian, berdekatan lebuh raya utama serta infrastruktur yang siap awal yang membolehkan syarikat memulakan operasi dengan cepat,” katanya. 

Sebagai taman perindustrian yang diperakui GreenRE, ia dilengkapi dengan ciri pelepasan karbon rendah seperti lampu jalan solar, bumbung yang boleh dipasang panel solar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), bahan binaan bertauliah hijau, pusat pengumpulan kitar semula serta sistem penuaian air hujan.

Ciri-ciri ini membolehkan taman perindustrian tersebut memenuhi keperluan operasi masa kini dan masa depan dengan meminimumkan penggunaan tenaga dan air, menggalakkan kitar semula sisa dan seterusnya mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Selain pemuliharaan tenaga dan air, IOIPG juga mereka bentuk taman perindustrian ini agar berdaya tahan serta mempunyai sistem pengurusan air yang berkesan. 

Selain sistem perparitan, taman perindustrian ini turut menampilkan bioswale (parit berlandskap) dan tasik tadahan air yang indah, yang telah pun dibentuk untuk mengurus aliran air ribut secara semula jadi.

Di samping itu, kumpulan menggalakkan pengurusan sisa dengan sasaran mengitar semula atau menyelamatkan 80 peratus bahan pembinaan tidak berbahaya. 

Dengan adanya pusat kitar semula khusus dan kemudahan pengkomposan dalam projek ini, kami menyumbang ke arah persekitaran perindustrian yang lebih hijau, dengan matlamat mengurangkan sisa dan pencemaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN