PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad terus komited memperkukuh penambahbaikan landskap tenaga negara apabila keempat-empat pasukan yang bertanding berjaya meraih Pingat Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2025 di Taipei, baru-baru ini.
Pencapaian itu digerakkan oleh wakil dari Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dan Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) yang memperkemas pembentangan dan mengemukakan hujahan menyeluruh berdasarkan penilaian panel hakim antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, projek berkenaan memberi tumpuan kepada penyelesaian cabaran operasi melalui perancangan lebih sistematik, penggunaan data yang kukuh dan amalan kejuruteraan yang berdisiplin.
“Pasukan Crush’ Em dari TBE membentangkan pendekatan lebih sistematik dalam pengurusan kerja pembaikan pulverizer, yang berjaya mengurangkan kos penyelenggaraan sambil mengekalkan prestasi peralatan yang lebih stabil.
“Pasukan TBE OPS 42 turut memperkenalkan kaedah penyejukan udara paksa yang memendekkan masa penyejukan turbin stim, sekali gus meningkatkan ketersediaan loji janakuasa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, Pasukan Sonic berjaya membuktikan bagaimana teknologi pengesanan kebocoran ultrasonik dapat mengenal pasti kehilangan udara tersembunyi dalam sistem udara instrumen, seterusnya meningkatkan kecekapan penggunaan udara dan kawalan operasi.
“Pasukan Lance-A-Lot dari TBPP merangka kaedah pemantauan yang mengukuhkan ketahanan tiub lance dan menyokong prestasi boiler yang lebih stabil,” katanya.
Mengulas lanjut, Syahrunizam berkata, projek-projek tersebut lahir daripada cabaran operasi sebenar di lapangan dan penyelesaiannya.
“Hasil kerja mereka menyumbang kepada penjimatan kos, pengurangan masa henti dan peningkatan prestasi peralatan di loji janakuasa,” katanya.
Keempat-empat pasukan itu mencapai julat markah tertinggi di bawah kerangka penilaian ICQCC, khusus bagi penilaian kejelasan isu, pelaksanaan disiplin dan hasil yang boleh diukur.
Selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 Malakoff, kejayaan ini mengukuhkan komitmen syarikat terhadap penambahbaikan berterusan serta aspirasi ‘Enhancing Life, Enriching Communities’ dalam usaha membangunkan landskap tenaga negara yang lebih mampan. – UTUSAN










