InDrive sahkan kelulusan APAD

InDrive sahkan kelulusan APAD, raikan pemandu cemerlang di Anugerah Pemandu Platinum 2025

AZLAN (kiri) dan Kumaar (kanan) menyampaikan hadiah kepada para pemenang ketika majlis Anugerah Pemandu Platinum 2025, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform mobiliti global, inDrive, mengumumkan bahawa ia telah berjaya menamatkan tempoh semakan lesen mandatori selama tiga bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sekaligus menerima pengesahan rasmi untuk meneruskan operasi di Malaysia.

Pengurus Operasi Pemandunya, Azlan Anwar berkata, pemandu merupakan tunjang utama yang menggerakkan operasi platform berkenaan, selain memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perkhidmatan serta tahap kepuasan penumpang sentiasa terpelihara.

“Pengesahan APAD membolehkan kami bergerak dengan yakin, memastikan kestabilan bagi pemandu, penumpang dan keseluruhan ekosistem mobiliti.

“Keyakinan ini membolehkan kami terus menyokong ribuan pemandu yang bergantung kepada platform kami sebagai sumber pendapatan yang mampan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pemandu Platinum 2025 di sini, hari ini.

Katanya, program ini turut mencatatkan purata peningkatan 7 peratus dalam jumlah perjalanan, mencerminkan tahap penglibatan tinggi pemandu.

“Kami akan terus menyokong pemandu dengan peluang yang adil, proses yang jelas dan peningkatan berterusan bagi memastikan pengalaman mereka sentiasa selamat dan memuaskan.

“Selain itu, kami juga menekankan komitmen berterusan dalam mematuhi semua peraturan tempatan, termasuk penambahbaikan proses dalaman, pengurusan dokumentasi yang lebih kukuh, serta kerjasama konstruktif dengan pihak berkuasa. 

Sementara itu, ketua syarikat itu, Govin Kumaar berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan APAD kerana memberikan kelulusan untuk kami terus beroperasi di Malaysia.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh kami terhadap pematuhan peraturan, bukan sekadar keperluan, tetapi sebagai prinsip operasi jangka panjang. 

“Lebih penting, ia membolehkan kami terus menyokong ribuan pemandu tempatan yang bergantung kepada inDrive untuk menjana pendapatan yang mampan.”

Majlis itu menghimpunkan lebih 150 pemandu cemerlang daripada Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, sebagai penghargaan kepada dedikasi, kualiti perkhidmatan serta sumbangan mereka kepada komuniti. 

Dengan penekanan terhadap keadilan, ketelusan dan peluang sama rata, syarikat berkenaan menegaskan matlamat jangka panjang untuk membentuk landskap mobiliti yang menyeluruh, selamat dan mudah diakses di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN