Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 6.0 peratus pada Oktober - Utusan Malaysia

Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 6.0 peratus pada Oktober

PEKERJA industri pembuatan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan mesin di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara meningkat 6.0 peratus pada Oktober 2025 berbanding bulan sama tahun lalu, sekali gus mengukuhkan momentum pertumbuhan positif dalam semua sektor utama iaitu pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut dipacu terutamanya oleh prestasi cemerlang sektor pembuatan yang berkembang 6.5 peratus.

Katanya, industri berorientasikan eksport memacu pertumbuhan sektor pembuatan dengan kenaikan 7.2 peratus, lebih tinggi daripada 4.8 peratus bulan sebelumnya.

“Lonjakan ketara ini disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang meningkat 14.2 peratus, serta subsektor minyak dan lemak sayuran dan haiwan yang terus kukuh pada 12.9 peratus.

“Prestasi itu sejajar dengan pertumbuhan 9.2 peratus eksport barangan perkilangan negara pada Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, industri berorientasikan domestik mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 4.9 peratus, dipacu oleh pengeluaran produk makanan diproses sebanyak 8.7 peratus, serta produk logam yang direka kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 7.1 peratus.

Katanya, dalam perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan meningkat 0.9 peratus berbanding 0.8 peratus pada September, manakala industri domestik merosot 1.2 peratus selepas mencatat pertumbuhan 1.5 peratus bulan sebelumnya.

“Sektor perlombongan meningkat 5.8 peratus pada Oktober, disokong pertumbuhan indeks minyak mentah dan kondensat sebanyak 8.8 peratus serta gas asli sebanyak 3.9 peratus.

“Berbanding September, output sektor itu melonjak 10.1 peratus selepas merekodkan penurunan 2.9 peratus sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, sektor elektrik turut meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun, sementara perbandingan bulanan menunjukkan pemulihan sebanyak 3.8 peratus berbanding penyusutan 4.4 peratus pada September.

“Prestasi IPP di rantau Asia menunjukkan pola yang berbeza, dengan Singapura dan Vietnam mencatat pertumbuhan ketara masing-masing 29.1 peratus dan 10.9 peratus.

“China, Jepun dan Taiwan pula mencatat peningkatan yang lebih sederhana, manakala Thailand dan Korea Selatan mengalami penurunan masing-masing negatif 0.1 peratus dan negatif 8.1 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN