IBTEC bakal hab inovasi teknopolis terbesar Asia

IBTEC bakal hab inovasi teknopolis terbesar Asia

Syed Mohamed Syed Ibrahim sempena pelancaran pada Majlis Pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Dataran Mahkota, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembangunan pusat data fasa pertama StepEast di Ibrahim Technopolis (IBTEC) telah menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM30 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan kawasan itu sebagai hab teknologi baharu Johor.

IBTEC yang terletak di Sedenak, di sini merupakan bandar ekonomi berteknologi tinggi lengkap menempatkan industri, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komersial dan kediaman dalam satu pelan induk ultra moden. 

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp merangkap Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pembangunan IBTEC melibatkan kawasan seluas 2,950 hektar bakal menjadi sebuah hab inovasi mega teknopolis terbesar Asia.

“IBTEC berada pada kedudukan strategik untuk melonjakkan asas industri Johor ke arah aktiviti yang lebih kompleks dan bernilai tinggi menjadikan proses pengeluaran lebih pintar, rantaian bekalan lebih berdaya tahan dan operasi lebih cekap.

“Terletak dalam Zon Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ), IBTEC dirancang sebagai pembangunan bersepadu generasi baharu yang menjadi teras kepada ekonomi baharu yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran IBTEC di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, IBTEC menerima pengiktirafan tertinggi di bawah Rangka Kerja Bandar Karbon Rendah (LCCF), menjadikannya kawasan industri rendah karbon pertama di Malaysia yang memenuhi standard global dari segi kelestarian dan kecekapan tenaga.

Beliau berkata, elemen berprofil tinggi turut menjadi daya tarikan IBTEC, termasuk pembinaan bangunan Livilab di Exclaim Discovery City yang direka oleh firma seni bina terkemuka dunia, Zaha Hadid Architects (ZHA).

“Reka bentuk futuristik itu dijangka menjadi mercu tanda baharu Johor, sekali gus mencerminkan aspirasi besar negeri ini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata, IBTEC bakal mengukuhkan agenda Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam mendorong peralihan negara kepada ekonomi bernilai tinggi dan berteraskan inovasi.

“Dengan infrastruktur data yang kukuh, mobiliti pintar serta sistem utiliti tersusun, pelabur boleh memulakan operasi dengan lebih pantas dan berkembang dengan penuh keyakinan.

“IBTEC dijangka mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi, membuka peluang kepada PKS menyertai rantaian bekalan serantau dan melahirkan usahawan tempatan dalam industri baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah IBTEC, Faizal Hussin berkata, pihaknya menjangka jalan pintas yang menghubungkan Tol Sedenak ke IBTEC itu akan siap sepenuhnya pada 2028.

“Ia melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan serta pembinaan laluan pintas baharu dengan nilai pelaburan sekitar RM400 juta.

“Pembinaan susur keluar Sedenak-Utara telah dimulakan dengan pelaburan RM200 juta. Bagi mereka yang memandu melalui Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) Kuala Lumpur, ini susur keluar pertama yang akan kelihatan dan ia akan menghubungkan terus ke bahagian utara IBTEC,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN