Hanya 34% keluarga pemilik perniagaan ada pelan legasi - Utusan Malaysia

Hanya 34% keluarga pemilik perniagaan ada pelan legasi

HO TECK SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga di Malaysia berdepan cabaran ketara dalam perancangan legasi dan pewarisan kekayaan apabila hanya 34 peratus keluarga pemilik perniagaan mempunyai pelan penggantian yang lengkap, menurut kajian terbaharu Sun Life Asia.

Kajian bertajuk Passing the torch: Building lasting legacies in Asia itu melibatkan lebih 3,000 responden dari enam negara Asia termasuk Malaysia dan satu lagi kajian sampingan melibatkan 1,823 pemilik perniagaan keluarga.

Meskipun kesedaran terhadap perancangan legasi semakin meningkat, tahap persediaan masih rendah dengan hanya 19 peratus rakyat Malaysia benar-benar bersedia sekiranya berlaku kematian dalam masa terdekat, manakala hanya 15 peratus telah menyiapkan dan memaklumkan pelan legasi mereka kepada waris.

Lebih dua pertiga (68 peratus) responden Malaysia bimbang kekayaan yang dimiliki tidak akan bertahan melepasi generasi anak, manakala 55 peratus tidak yakin waris mereka mampu mengurus harta dengan berkesan, malah hanya 25 peratus percaya anak-anak akan mematuhi hasrat pewarisan yang ditinggalkan.

Keutamaan utama keluarga Malaysia dalam merancang legasi ialah perlindungan kewangan untuk kestabilan keluarga (72 peratus), diikuti keperluan memiliki pelan harta pusaka yang jelas (49 peratus) dan pendidikan kewangan waris (48 peratus).

Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata, keluarga kini semakin melihat legasi secara menyeluruh, bukan sekadar pemindahan aset.

“Dalam konteks Malaysia, keluarga sedang mentakrifkan semula makna legasi merangkumi keselamatan kewangan, pendidikan dan kehidupan bermakna untuk generasi akan datang. Namun jurang antara niat dan tindakan masih besar dan perancangan awal sangat penting,” katanya.

Menurut kajian, walaupun 93 peratus keluarga pemilik perniagaan menyatakan hasrat untuk menyediakan pelan legasi, hanya 34 peratus benar-benar mempunyai pelan penggantian perniagaan yang lengkap. 

“Selebihnya masih pada tahap separa, sedang dibangunkan, atau belum dimulakan langsung.

“Komunikasi antara generasi juga lemah. Hanya 49 peratus anggota generasi baharu yang terlibat dalam operasi perniagaan mengatakan mereka menerima penjelasan penuh mengenai rancangan pewarisan. Angka itu merosot kepada 22 peratus apabila generasi baharu tidak terlibat dalam perniagaan,” katanya. 

Perbezaan nilai dan gaya hidup mewujudkan jurang generasi dalam pewarisan syarikat keluarga. 

Hanya 37 peratus generasi baharu yang tidak terlibat dalam perniagaan menyatakan kesediaan mengambil alih, manakala 59 peratus menolaknya kerana valuasi terhadap kebebasan dan keengganan memikul tanggungjawab besar.

Faktor lain termasuk kurang minat (49 peratus) dan kurang persediaan untuk memimpin (31 peratus).

Walaupun 77 peratus mengetahui tentang dokumen wasiat dan alat perancangan harta pusaka lain, hanya 38 peratus menggunakannya. 

Begitu juga dengan penasihat kewangan, 72 peratus sedar tentang peranan mereka, namun hanya 36 peratus pernah mendapatkan khidmat profesional.

Sementara itu, Ketua Pelanggan dan Pengedaran Sun Life, David Broom berkata, banyak keluarga bercakap tentang pewarisan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

“Meskipun perbualan mengenai legasi semakin terbuka, ramai masih tiada struktur atau pelan yang dilengkapkan, menyebabkan keputusan pewarisan tidak jelas dan berisiko mencetus konflik,” katanya.

Sun Life turut mendapati pendidikan kewangan menjadi trend baharu dalam pewarisan dengan 58 peratus responden berkongsi pengalaman peribadi, 55 peratus terbuka berbincang hal kewangan dan 55 peratus mengajar asas pengurusan wang kepada generasi muda.

Selain itu, permintaan terhadap khidmat profesional juga meningkat dengan 42 peratus telah mendapatkan nasihat kewangan, manakala 36 peratus lagi merancang berbuat demikian. 

Dalam kalangan golongan berada, 68 peratus telah mendapatkan nasihat dan hampir separuh Gen Z menyatakan niat melakukannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN