Gading Kencana fokus pada EPCC, BESS

Gading Kencana fokus pada EPCC, BESS

MUSTAFFA Kamal Ayub (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Usahawan Gemilang Tempat Kedua kepada Muhamad Guntor Mansor Tobeng (empat dari kiri) pada AUMI25 di Cyberjaya baru-baru ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT penyedia perkhidmatan tenaga solar, Gading Kencana Sdn. Bhd. akan lebih fokus kepada kerja-kerja kejurute­ra­an, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebagai strategi utama meningkat perolehan kumpulan.

Dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam industri tenaga boleh baharu Gading Kencana mempunyai kepakaran bagi memenuhi keperluan permintaan terutama bagi industri solar termasuk projek solar berskala besar (LSS).

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, ini termasuk keupayaan mereka menyediakan sistem simpanan tenaga menggunakan bateri atau Battery Energy Storage System (BESS) yang menjadi keperluan dalam penjanaan tenaga berasaskan solar di negara ini.

“Kami di Gading Kencana mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam EPCC dan BESS serta mampu memenuhi permintaan mana-mana pemain industri solar di negara ini sama ada kecil atau besar.

“Dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam industri ini, Gading Kencana mampu menawarkan perkhidmatan yang selari dengan keperluan industri masa kini,” katanya  ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Anugerah Usahawan Madani 2025 (AUMI25) di sini.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng bersama Anugerah Usahawan MADANI INSKEN 2025 (AUMI25) di Cyberjaya.

Keupayaan Gading Kencana itu terbukti apabila Guntor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Gemilang Tempat Kedua yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Selain itu, kata Guntor, tumpuan kepada perkhidmatan EPCC dan BESS juga adalah sebagai strategi persiapan untuk meningkatkan hasil bagi disenaraikan di Bursa Malaysia, seiring dengan sasaran jangka panjang pengembangan perniagaan dan keperluan modal yang semakin meningkat.

Katanya, antara komponen utama dalam persiapan tersebut adalah penukaran sistem pelaporan kewangan daripada MPERS (Piawaian Pelaporan Kewangan Entiti Persendirian Malaysia) kepada MFRS (Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia).

“MPERS sesuai untuk syarikat swasta, tetapi untuk ke bursa kita perlu guna MFRS yang lebih kompleks dan terperinci. Setiap perbelanjaan perlu direkod dan dilaporkan secara telus, tidak boleh lagi berbelanja sesuka hati.

“Jadi kita kena ubah banyak perkara termasuk struktur akaun dan sistem tadbir urus,” katanya. 

Guntor berkata, Gading Kencana merupakan syarikat penyedia tenaga solar dan perkhidmatan kecekapan tenaga meliputi empat ladang solar berskala besar iaitu tiga di Bidor, Perak dan satu di Melaka yang menjana kapasiti sehingga 135 megawatt. 

Katanya, tenaga yang dijana dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun.

Beliau menjelaskan, langkah untuk ke Bursa Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat untuk memperoleh akses kepada instrumen pembiayaan baharu seperti sukuk hijau dan bon lestari bagi menyokong pengembangan projek tenaga boleh diperbaharui.

“Keperluan modal kami meningkat kerana kos pembangunan ladang solar berskala besar bukan sedikit. Kalau dulu satu projek solar kecil RM100,000 pun cukup, sekarang satu ladang solar boleh cecah RM100 juta.

“Bank pun ada hadnya, jadi kita kena fikir kaedah pembiayaan lain yang lebih mampan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap INSKEN atas latihan dan bimbingan yang diterima melalui program pembangunan usahawan sejak 2018 yang banyak membantu dari segi pengurusan risiko, keyakinan mendapatkan pinjaman dan penyusunan tadbir urus kewangan.

Katanya, legasi itu turut diteruskan apabila anak beliau kini menyertai program bimbingan sama sebagai persediaan membawa syarikat ke peringkat lebih tinggi.

“Program seperti ini memang penting. Saya sendiri adalah bukti keberkesanannya. Sekarang anak saya pula masuk supaya legasi ini boleh diteruskan dengan lebih tersusun,” katanya.

Gading Kencana kini memiliki lebih 100 kakitangan yang majoritinya jurutera bagi menguruskan aset tenaga yang kini dianggarkan bernilai lebih RM500 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, institut itu berjaya menjana RM22.4 juta peningkatan hasil jualan menerusi Program Bimbingan INSKEN yang dilaksanakan sepanjang tahun ini. 

Menurutnya, program pembangunan kapasiti itu antaranya merangkumi 27 program Bumiputera Business Coaching (IBBC), 11 program INSKEN Mini Coaching dan program SPACE-PPS yang melibatkan lebih 1,200 usahawan mikro. 

“INSKEN akan terus memacu pembangunan usahawan melalui inisiatif baharu termasuk perusahaan sosial, perniagaan inklusif serta peningkatan kemahiran digital dan produktiviti PMKS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN