Foodie Media labur RM700,000 untuk perisian AI 

Foodie Media labur RM700,000 untuk perisian AI 

KETUA Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Foodie Media Berhad (Foodie Media) melabur RM700,000 dalam penyelesaian perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan penghasilan kandungan dan menterjemah kandungan ke pelbagai bahasa.

Pelaburan itu merupakan sebahagian daripada RM41.1 juta hasil yang diperoleh menerusi terbitan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, langkah itu merupakan strategi syarikat untuk memacu pertumbuhan dan menjangkau lebih ramai audiens di Malaysia serta Asia Tenggara.

“Apabila saya mula menyedari bahawa video bakal menjadi trend besar dalam industri, ramai bimbang tentang capaian Wi-Fi dan penggunaan data, namun, saya melihat industri ini bakal dibanjiri kandungan video. 

“Justeru, kami mengambil peluang melabur dalam AI yang kini menjadi gelombang seterusnya. AI bukan pengganti manusia tetapi alat memperkasakan pencipta kandungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kumpulan itu kini mengendalikan 37 jenama gaya hidup di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina serta menjangkau 48 juta pengikut.

Beliau berkata, pelaburan dalam AI itu akan digunakan untuk menterjemah kandungan ke lebih banyak bahasa memandangkan kandungan dihasilkan sebelum ini hanya dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina sahaja. 

“Dengan perisian berasaskan AI, Foodie Media kini mampu menambah bahasa seperti Tamil, Thai, Filipino, Mandarin, Kantonis, Jepun dan Korea, sekali gus meluaskan capaian audiens di Asia Tenggara.

“Sebagai contoh, bagi menyokong Visit Malaysia 2026, syarikat mampu menterjemah kandungan ke bahasa pelancong dari Jepun dan Korea, seterusnya meningkatkan capaian kepada negara, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan tempatan,” ujarnya.

Mengulas perancangan tiga tahun syarikat, Nicholas berkata, Foodie Media menumpukan pada empat tonggak utama direka untuk mewujudkan ekosistem bersepadu yang memanfaatkan pengikut media sosial mereka di pelbagai platform.

Menurutnya, tonggak pertama ialah kandungan (content), dengan fokus utama makanan sambil berkembang ke kategori lain seperti hartanah, kewangan, kecantikan, fesyen, automotif dan teknologi. 

“Ini membolehkan kami menawarkan lebih banyak pilihan kepada klien di Malaysia dan Asia Tenggara, bukan sahaja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) atau Pengeluar barangan pengguna cepat laris (FMCG).

“Tonggak kedua pula ialah pencipta kandungan (creator), di mana kami berhasrat membantu mereka berkembang dan meningkatkan pendapatan. Tonggak ini telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sejak tahun lalu.

“Seterusnya ialah perdagangan (commerce), merangkumi peluang memperoleh komisen dengan membantu jenama menjual produk melalui platform digital seperti TikTok. Akaun seperti Foodie, KL Foodie dan Halal Foodie membolehkan aktiviti jualan siaran langsung, memberi kelebihan kompetitif.

“Tonggak keempat ialah komuniti (community), dengan kekuatan jenama KL Foodie, syarikat bercadang mengadakan lebih banyak acara fizikal seperti KL Foodie Festival dan Home Expo,” jelasnya.

Nicholas berkata, selepas kejayaan di Malaysia, sasaran seterusnya adalah memperluaskan jenama ke Asia Tenggara melalui Singapore Foodie, Jakarta Foodie, Manila Foodie dan Bangkok Foodie.

Tambahnya, antara kerjasama terbesar syarikat ialah dengan Grab, yang dijangka berkembang lebih besar pada tahun depan, dengan jenama kreatif seperti Farm Fresh dan Montigo serta institusi kewangan seperti CIMB Bank.

“Saya suka bekerja dengan jenama kreatif dan sentiasa on trend. Ini membolehkan kami terus berkembang dan menawarkan nilai tambah kepada pelanggan serta pencipta kandungan tempatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN