Felda, FGV kembali beroperasi secara normal - Utusan Malaysia

Felda, FGV kembali beroperasi secara normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Kerajaan Negeri Terengganu memberikan remedi atau lanjutan masa tambahan untuk menyelesaikan isu tanah di negeri itu sehingga 7 Januari 2026 membolehkan peneroka memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam kenyataan bersama berkata, pihak mereka dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan. 

Katanya, kedua-dua pihak mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu berhubung perkembangan rundingan mengenai tanah-tanah yang diusahakan di negeri tersebut. 

“Kepastian ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

“Kami amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, perkembangan tersebut memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka. 

“Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara,” katanya.

Felda dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional. 

“Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi Felda sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan,” katanya. 

Sebelum ini, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim, dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberi tempoh tiga hari berakhir Sabtu lalu, supaya FGV mengosongkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Untuk rekod, rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa siri perbincangan susulan notis amaran dikeluarkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri turut bersetuju melanjutkan tempoh remedi dalam notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sehingga 7 Januari tahun hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali memaklumkan bahawa sepanjang tempoh lanjutan ini, perbincangan untuk memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diteruskan secara lebih terperinci.

Beliau juga berkata kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada FGV untuk menyambung operasi semua ladangnya di Terengganu serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN