PETALING JAYA: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad mencatat satu lagi kejayaan penting apabila menerima dividen berjumlah RM28.1 juta daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu kumpulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian ini mencerminkan prestasi kewangan kumpulan yang kukuh serta keberkesanan pelaksanaan strategi pengurusan yang digerakkan di semua peringkat.
“Ia turut menggambarkan kedudukan kewangan FELCRA yang semakin mantap dalam usaha memperkasa agenda pembangunan luar bandar, memacu pertumbuhan ekonomi peserta dan memastikan nilai mampan terus diwujudkan kepada semua pemegang taruh.
“Saya turut menzahirkan keyakinan terhadap Kumpulan FELCRA Berhad, khususnya anak-anak syarikatnya, agar terus membina kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, saya telah meminta FELCRA Berhad untuk mengemukakan Pelan Strategik Perniagaan 2026–2036 pada suku pertama 2026 bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan jangka panjang, pengukuhan daya saing serta memangkin hala tuju korporat FELCRA dalam dekad mendatang,” katanya dalam kenyataan.
Turut berlangsung ialah penyampaian replika cek daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu FELCRA, yang menandakan prestasi positif dan sumbangan kukuh entiti-entiti ini terhadap kekuatan kewangan FELCRA secara keseluruhan.
Ahmad Zahid berkata, dengan semangat kerja berpasukan yang padu dan hala tuju strategik yang jelas, FELCRA Berhad akan terus menjadi kebanggaan masyarakat desa sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melaksanakan amanah sosial dengan penuh integriti, tetapi turut menjadi penggerak kemakmuran korporat yang berdaya saing dan berimpak tinggi.-UTUSAN










