Fasiliti baharu EPMB tingkat kapasiti pengeluaran

Fasiliti baharu EPMB tingkat kapasiti pengeluaran

EPMB melancarkan fasa 2 fasiliti pembuatannya di Melaka baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) melancarkan fasa 2 fasiliti pembuatannya di Melaka, yang meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya kepada 30,000 unit setahun berbanding 6,000 unit pada masa ini.

Fasiliti itu juga akan mempercepatkan transformasinya daripada pembekal komponen tahap-1 kepada rakan pemasangan kenderaan bersepadu secara menegak bagi jenama kereta global.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, fasiliti pengeluaran automotif di Melaka itu membolehkan syarikat meningkatkan pengeluaran secara signifikan dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi jenama pelanggannya di Malaysia.

Katanya, pencapaian mercu tanda ini hanya dapat direalisasikan dengan kepercayaan dan kerjasama rakan kongsi pengeluar peralatan tulen (OEM) mereka iaitu GWM, BAIC dan SAIC serta dedikasi dan komitmen pekerjanya.

“Kami terus bekerjasama dengan jumlah OEM China yang semakin bertambah dan sedang mencari rakan pemasangan dan penyetempatan di Malaysia. Malaysia kini dilihat sebagai hab automotif yang pesat membangun dan kompetitif bagi rantau Asia Pasifik terutamanya bagi model pemanduan sebelah kanan.

“Ketika syarikat memperdalam integrasi kami dengan rantaian bekalan automotif Chi­na yang sangat maju dan kompetitif, kami meletakan EPMB dan Melaka sebagai hab bagi pembuat kereta China yang menyasarkan pasaran automotif Malaysia dan ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

Sejak EPMB memulakan pembinaan fasa 1, kemudahan pembuatannya pada suku keempat 2023, lebih 6,000 unit GWM H6 kenderaan elektrik hibrid (HEV) telah dikeluarkan dan dijual di Malaysia. 

Menurutnya, pengeluaran rintis bagi BAIC X55 dan BJ40 telah diselesaikan pada November 2025, dengan pengeluaran penuh dijadualkan bermula pada Januari 2026.

“Pengeluaran rintis bagi kenderaan MG pula dijangka bermula pada Februari 2026.

Seiring dengan kapasiti pengeluarannya yang semakin berkembang, keupayaan pemasangan automotif EPMB disokong oleh kilang pembuatan komponen bersepadunya di Kedah, Perak, Selangor dan Melaka,” ujarnya.

Tambahnya, fasa 3 kilang pembuatan EPMB dijangka beroperasi menjelang akhir suku ketiga 2026 dan akan menggabungkan keupayaan pengecatan badan kereta secara dalaman, meningkatkan tahap penyetempatan, mencipta nilai tambahan dan memperkukuh ekosistem pemasangan automotif di Melaka.

Ia akan dibina bersebelahan dengan kemudahan fasa 2 sedia ada, di atas plot tanah bersebelahan seluas 3.24 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN