PETALING JAYA: Exis Tech Sdn. Bhd.(Exis Tech), sebuah pengeluar peralatan semikonduktor dan anak syarikat Hangzhou Changchuan Technology Co. Ltd. (CCTECH) melancarkan pembukaan fasa pertama kilang pembuatan keduanya yang melibatkan pelaburan RM25 juta di Senawang, Negeri Sembilan.
Pengembangan fasa kedua pula dijadualkan bermula awal 2026 dan siap menjelang akhir 2027 dengan pelaburan tambahan melebihi RM100 juta, iaitu enam kali lebih besar daripada Fasa 1.
Ia dijangka mewujudkan 600 hingga 800 pekerjaan mahir baharu dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, di samping 50 kakitangan baharu untuk mengukuhkan rangkaian perkhidmatan pelanggan global kumpulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pengembangan Exis Tech mengukuhkan ekosistem semikonduktor Malaysia dan memperkukuh peranan dalam rantaian nilai global.
“Penubuhan operasi peralatan IC termaju dan ujian cip di Negeri Sembilan meningkatkan keupayaan industri negara serta menyokong penggantian import dalam teknologi kritikal.
“Paling penting, pelaburan ini memberikan impak nyata kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, pembangunan kemahiran yang dipercepatkan dan pengukuhan bakat semikonduktor negara.
“Selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan NIMP 2030, MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan Exis Tech dan CCTECH untuk memacu inovasi, memperdalam keupayaan tempatan, dan memposisikan Malaysia sebagai hab pilihan rantau dalam pembuatan semikonduktor,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi CCTECH,Zhao Yi berkata, pembukaan kilang fasa pertama itu menandakan bab baharu dalam pengembangan global kumpulan ketika berusaha menjadi penyedia bertaraf dunia bagi peralatan litar bersepadu dan penyelesaian sistem ujian cip.
Menurutnya, keputusan kumpulan untuk melabur di Malaysia membuktikan dasar progresif negara yang menumpukan kepada industri semikonduktor serta kepelbagaian tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“CCTECH komited menumpukan separuh daripada 5,000 tenaga kerja globalnya kepada usaha penyelidikan dan pembangunan, bagi mengatasi cabaran ini dan menyediakan penyelesaian paling berdaya saing dari segi kos kepada para pelanggan.
“Kami berharap dapat membawa lebih banyak produk serta kepakaran pembuatan ke Malaysia, sekali gus akan memacu inovasi lebih besar dan melonjakkan CCTECH ke tahap yang lebih tinggi dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dengan adanya kemudahan baharu itu Exis Tech akan berfungsi sebagai pangkalan pembuatan dan eksport utama kumpulan CCTECH bagi pasaran di luar China.
Pengembangan ini akan memperluas portfolio pengeluaran tempatan, termasuk integrasi mesin Pemeriksaan Optik Automatik (AOI) daripada anak syarikat CCTECH, Singapore Technologies and Instruments Co. Ltd. (STI), sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai nod utama dalam strategi pembuatan dan eksport global kumpulan tersebut. – UTUSAN










