KUALA LUMPUR: Edaran Otomobil Nasional Bhd. (EON) menyasarkan penjualan sehingga 16,000 unit kenderaan pada 2026, sejajar strategi pengukuhan kedudukan kumpulan dalam pasaran automotif negara.
Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, fokus syarikat bukan sahaja tertumpu pada pertumbuhan fizikal rangkaian pengedaran, tetapi juga aspek bukan fizikal seperti khidmat pelanggan sepanjang keseluruhan kitar hayat (lifecycle) pemilikan kenderaan.
“Kami yakin penekanan terhadap pengalaman pelanggan akan mengukuhkan lagi daya saing EON dalam industri automotif.
“Pada tahun ini di peringkat EON, kita hampir capai sasaran sebenar iaitu 12,000 unit. Setakat November kami sudah mencecah 11,000 unit dan berada pada landasan yang betul bagi mencapai sasaran dengan baki sebulan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pusat Pameran 3S Flagship Proton EON Damansara di sini, hari ini.
Beliau berkata, Proton kekal sebagai penyumbang utama volum dibawah EON.
“Proton ketika ini giat memperkenalkan barisan model baharu merangkumi teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan tenaga baharu (NEV)
“Model terbaharu Proton Saga Serba Baharu juga menerima sambutan sangat menggalakkan, manakala penawaran model NEV Proton turut memberi sumbangan besar kepada volume EON,” ujarnya.
Mengulas mengenai persaingan dalam segmen kenderaan elektrik (EV), beliau berkata, EON Group kini menawarkan rangkaian lengkap merangkumi segmen asas, pertengahan, premium dan mewah.
“Kami memilih jenama-jenama di bawah EON Group dengan teliti supaya setiap segmen pasaran dapat diwakili.
“Pada saya, walaupun persaingan itu wujud, ia bukan semata-mata soal harga. Di peringkat EON, kami menekankan khidmat pelanggan sebagai elemen terpenting dalam perniagaan runcit.
“Dengan memberi tumpuan kepada khidmat pelanggan dan penawaran produk yang kukuh, kami yakin dapat terus berdiri kukuh bersaing dalam pasaran.
“Bagi Proton EMAS pula ia merupakan model EV paling laris setakat ini. Itu baru permulaan. Tahun depan, kami menjangkakan penguasaan pasaran EV akan terus berkembang,” katanya.
Menyentuh unjuran industri automotif yang dijangka mencecah 800,000 unit tahun ini, beliau menyifatkannya sebagai angka yang sihat.
“Bagi saya, paras antara 700,000 hingga 800,000 unit adalah angka yang sihat. Jika melepasi angka itu, ia mungkin mewujudkan kekeliruan pasaran dan mendorong diskaun agresif, sesuatu yang mahu kita elakkan.
“Segmen EV juga masih baharu. Kita mahu melihat tahap kesediaan pengguna, sama ada EV akan menjadi kereta pertama atau kedua dalam sesebuah keluarga,” jelasnya.
Mengulas cabaran lain seperti kaedah pengiraan pelaksanaan cukai eksais baharu bagi Nilai Pasaran Terbuka (OMV) ke atas kereta pemasangan tempatan (CKD), beliau berkata, kebanyakan jenama di bawah EON mempunyai operasi CKD di Malaysia.
“Di peringkat runcit, kami tidak terlibat secara langsung dalam penyerahan OMV atau kiraan duti eksais.
“Namun OEM perlu mengambil kira formula baharu ini dan memastikan harga tidak terjejas secara ketara. Kami akan bekerjasama rapat dengan OEM untuk memastikan kesan kepada pasaran dapat dikawal sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN










