Croesus IT pacu penyelesaian digital sektor perladangan - Utusan Malaysia

Croesus IT pacu penyelesaian digital sektor perladangan

RICHARD Liau (dua dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif, Chua Kian Hong (kiri); Ketua Pegawai Operasi, Winnie Liew (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif, Wan Haslan Wan Hassan (kanan) semasa penyenaraian saham berkenaan di Bursa Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Croesus IT Holdings Berhad menyasarkan perluasan penyelesaian digital dalam sektor perladangan melalui rangkaian produk SAP Cloud ERP susulan penyenaraian sulung di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Berhad.

Syarikat penyedia perisian perusahaan itu menawarkan gabungan penyelesaian pihak ketiga dan proprietari merangkumi pengurusan semakan, analisis pengendalian kenderaan, pelaporan blok serta operasi perladangan yang rumit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Richard Liau berkata, penyelesaian digital berkenaan bertujuan memperkukuh kecekapan operasi serta pembuatan keputusan berasaskan data dan pematuhan peraturan.

“Teknologi perladangan masih kurang dalam perkhidmatan walaupun sumbangannya begitu ketara kepada negara. Jadi, Malaysia dan Indonesia adalah negara sasaran utama kami buat masa ini.

“Pelan seterusnya adalah Singapura dan Australia sebagai pemasaran pada peringkat global dan serantau,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Richard berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan prestasi sebanyak 50 hingga 60 peratus menjelang 2026.

“Sasaran itu perlu dicapai melalui pembukaan beberapa akaun besar pada tahun hadapan, seterusnya membolehkan kami meneruskan pelan penanda aras utama,” katanya.

Penyenaraian saham tersebut dilaksanakan melalui pengenalan, dengan harga rujukan penyenaraian pada 12 sen sesaham, sekali gus memberikan modal pasaran bernilai RM12 juta semasa penyenaraiannya hari ini.

DWA Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Diluluskan dan Berterusan syarikat untuk penyenaraian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN