PETALING JAYA: Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Cement Sdn. Bhd. mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan Clinker Line 2 di Mambong yang melibatkan pelaburan berjumlah RM673 juta.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Menurut kenyataannya, kemudahan baharu ini akan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 6,000 tan metrik sehari, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluaran klinker tahunan Cahya Mata Cement daripada 900,000 tan metrik kepada 1.9 juta tan metrik.
Jelasnya, pengembangan ini dijangka memperkukuh daya tahan bekalan simen di Sarawak serta mengurangkan kebergantungan kepada import, selari dengan strategi Cahya Mata untuk
memodenkan keupayaan pengeluarannya.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, pelaburan ini menjadi tunjang utama bagi Cahya Mata untuk memacu ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Pembinaan Clinker Line 2 membolehkan kumpulan beroperasi dengan kecekapan yang lebih tinggi, mengadaptasi teknologi yang lebih bersih serta memperluas kapasiti pengeluaran selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang Sarawak,” katanya.
Tambahnya, Clinker Line 2 akan dilengkapi teknologi moden dan cekap tenaga, termasuk Sistem Pemulihan Haba Buangan (WHRS) yang berupaya menjana sehingga enam megawatt tenaga bersih, selain sistem penapisan habuk termaju yang mampu mengurangkan pelepasan ke tahap di bawah separuh daripada had peraturan sedia ada.
Katanya, penggunaan teknologi ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan jejak alam sekitar operasi simen kumpulan.
“Kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa selama dua tahun, dengan disasarkan
pada suku kedua tahun 2027.
“Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, fasiliti ini akan membekalkan klinker kepada loji pengisaran Cahya Mata Cement di seluruh Sarawak, sekali gus mengukuhkan sistem pengeluaran bersepadu kumpulan,” ujarnya.
Projek ini dikendalikan oleh Sinoma Industry Engineering (M) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kepada Tianjin Cement Industry Design & Research Institute (TCDRI), China, yang dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek berkenaan.
Cahya Mata Cement telah beroperasi di Sarawak sejak tahun 1974 dan kini mengendalikan tiga loji pengisaran simen di Kuching dan Bintulu, selain terminal pengedaran di Sibu dan Miri. – UTUSAN










