Bursa Malaysia lepasi 1,640 mata, capai paras tertinggi tahun ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia lepasi 1,640 mata, capai paras tertinggi tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia meneruskan momentum pengukuhan apabila mencapai paras tertinggi baharu tahun ini, sekali gus mencerminkan sentimen pelabur yang semakin positif terhadap pasaran ekuiti tempatan.

Pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,643.72, penutup terbaik sejak 31 Disember 2024 pada 1,642.33 mata.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, aliran masuk dana ke pasaran saham kekal memberangsangkan, sekali gus menyokong prestasi indeks yang dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,650 mata sehingga hujung tahun ini.

“Bagaimanapun, pasaran dijangka kembali stabil susulan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur serta tindakan pengurus dana menutup portfolio masing-masing menjelang akhir tahun kewangan 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut Aimi Zulhazmi, akan berlaku perubahan lain sekiranya ada geopolitik yg timbul yang mengganggu perkembangan ekonomi global.

“Hal ini akan boleh menyebabkan peralihan semula kepada pengukuhan mata wang dolar,” katanya. 

Jelas beliau, secara keseluruhan, Bursa Malaysia dijangka lebih baik prestasi hujung tahun ini berbanding dengan pertengahan tahun selepas pelbagai spekulasi perdagangan global dan ekonomi dunia yang dijangka perlahan. 

“Pemotongan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) memberikan kesan positif dengan aliran pasaran modal global turut bertambah di Bursa Malaysia. 

“Pengukuhan ekonomi negara, lebihan dagangan meletakkan malaysia di kedudukan yang positif antara negara-negara ASEAN,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, prestasi indeks bursa tempatan ketika ini masih berada pada paras sekitar 1,639 mata dan dijangka bergerak secara perlahan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, ketiadaan penunjuk ekonomi baharu yang kukuh menyebabkan pergerakan pasaran saham kekal berhati-hati.

“Saya menjangka pergerakan pasaran masih perlahan kerana tiada petunjuk baharu yang benar-benar kukuh buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Rizal tidak menolak kemungkinan berlakunya perubahan dalam masa terdekat memandangkan pasaran kewangan bersifat dinamik.

“Dalam tempoh dua minggu ini, macam-macam boleh berlaku,” jelasnya.

Sebagai contoh, katanya, pengukuhan nilai mata wang tempatan berpotensi memberi kesan positif kepada pasaran saham.

“Sekiranya mata wang kita meningkat, berkemungkinan bursa juga akan menunjukkan peningkatan kerana pelabur institusi luar negara akan lebih yakin terhadap asas dan prospek ekonomi negara.

“Bagaimanapun, konflik antara Thailand dan Kemboja juga mungkin mengganggu pasaran modal ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN