Bursa Malaysia kurang penyertaan syarikat berkualiti tinggi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia kurang penyertaan syarikat berkualiti tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan perlu lebih variasi dan dengan penyertaan lebih banyak syarikat berkualiti tinggi terutamanya dalam sektor teknologi bagi menarik pelaburan di ekuiti tempatan.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, setiap pelabur mempunyai kriteria tersendiri dan kebanyakannya cenderung memilih syarikat dalam sektor teknologi tinggi.

“Sejak sektor ini masih kecil di Malaysia, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan skala syarikat dan menyediakan modal yang lebih tinggi bagi menarik pelabur.

“Kekurangan minat pelabur asing terhadap pasaran saham tempatan juga kerana pelabur lebih memilih saluran pelaburan lain seperti bon dan pelaburan langsung asing (FDI). Apabila dana dikeluarkan daripada ekuiti, ia biasanya dialihkan ke bon atau FDI.

“Data menunjukkan FDI dan pelaburan dalam bon meningkat, menunjukkan pelabur membuat keputusan mengikut selera risiko masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Komposisi indeks yang berat kepada saham defensif mendorong kepada pergerakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang masih kekal di bawah 1,700 mata tahun ini.

Malaysia mencatat RM19.43 bilion (AS$4.8 bilion) aliran keluar bersih dalam 11 bulan pertama 2025, antara yang tertinggi dalam 15 tahun, sekali gus menolak pegangan asing ke paras terendah sejarah pada 19 peratus.

Sementara itu, Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pasaran saham tempatan kurang menarik kepada pelabur asing kerana kurangnya pendedahan kepada sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi.

Ujarnya, Malaysia masih dominan dalam sektor ekonomi lama seperti perbankan, utiliti dan komoditi, sekali gus menjadikan Bursa Malaysia kurang relevan berbanding pasaran Asia lain yang lebih berorientasikan pertumbuhan.

“Kelembapan pasaran Malaysia bukan kerana ekonomi domestik lemah, tetapi kerana naratif pelaburan global telah berubah ke arah sektor teknologi tinggi dan Malaysia masih belum mempunyai penyertaan yang besar dalam sektor itu.

“Namun begitu, sektor-sektor seperti utiliti, tenaga, pembinaan, amanah pelaburan hartanah (REIT), logistik dan kesihatan masih menawarkan nilai, terutamanya bagi pelabur yang fokus jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Malaysia dalam indeks global adalah kecil dengan hanya sekitar satu peratus dalam MSCI Emerging Markets Index, menyebabkan ramai pelabur global kurang memberi tumpuan berbanding negara Asia lain yang lebih besar atau berteknologi tinggi.

“Negara seperti India, Taiwan dan Jepun mengalami kenaikan pasaran yang lebih tinggi, dipacu oleh sektor teknologi dan AI, sekali gus meningkatkan jurang daya tarikan berbanding Malaysia.

“Tambahan pula, pelaburan Malaysia masih didominasi sektor tradisional dan kurang pendedahan kepada teknologi tinggi yang biasanya mendorong kenaikan semula indeks,” ujarnya.

Tambahnya, FBM KLCI sangat bergantung pada perbankan dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang menguasai kira-kira 30 peratus indeks.

“Prestasi lemah kedua-dua sektor ini menjadi penghalang utama kepada kenaikan KLCI.

“FBM KLCI didagangkan dalam julat sempit (1,610 hingga 1,630 mata) walaupun hampir 40 peratus komponen mencatat kenaikan, petanda bahawa tekanan datang daripada beberapa kaunter ‘heavyweight’, bukan keseluruhan pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN