PETALING JAYA: BJAK mengumumkan pembentukan perkongsian insurans dalam talian terbesar di Malaysia, menghimpunkan 16 syarikat insurans terkemuka dalam satu platform digital.
Pencapaian itu mencerminkan enam tahun kerjasama berterusan dan menempatkan BJAK sebagai platform insurans digital paling komprehensif dan dipercayai di negara ini.
Penanggung insurans yang menyertai termasuk AIG, Allianz, Chubb, Great Eastern, Takaful Ikhlas, Liberty Insurance, Lonpac Insurance, Generali, MSIG Insurance, Pacific & Orient Insurance, RHB Insurance, Berjaya Sompo Insurance, Takaful, Tokio Marine, Tune Protect dan Zurich Takaful.
Ketua Pegawai Eksekutif BJAK Malaysia, Ronald Lim berkata, ini merupakan langkah besar untuk BJAK dan digitalisasi insurans di Malaysia.
“Ia membolehkan kami memperkukuh komitmen terhadap ketelusan, pilihan dan pemerkasaan pengguna nilai yang memandu perjalanan kami sejak hari pertama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, rangkaian penanggung insurans BJAK yang diperluas menawarkan akses digital paling meluas kepada produk insurans dan takaful motor di Malaysia.
“Pengguna boleh membandingkan sebut harga, menilai manfaat perlindungan dengan jelas, dan membuat keputusan termaklum semuanya melalui satu portal yang selamat,” tambahnya.
Ronald berkata, platform BJAK memudahkan pengalaman membeli insurans yang sebelum ini berpecah dan rumit.
“Dengan menyediakan perbandingan jelas dan proses pembaharuan yang lancar, BJAK turut menyokong usaha negara ke arah keterangkuman kewangan dan peningkatan celik digital bagi semua rakyat.
“Pengguna berhak mendapat ketelusan dan keyakinan ketika memilih perlindungan untuk diri dan keluarga mereka.
“Platform kami direka untuk memudahkan proses yang kompleks serta memberikan pilihan yang mudah, telus, dan boleh diakses oleh semua,” katanya.
BJAK Malaysia diiktiraf secara rasmi Penasihat Kewangan (FA) berlesen di bawah entiti yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kredibiliti BJAK dalam industri perkhidmatan kewangan, malah turut membuka lebih banyak peluang kepada pemilik kenderaan di Malaysia melalui akses yang lebih luas, maklumat yang jelas, dan pengalaman pelanggan yang ditakrif semula selaras dengan keperluan era digital.-UTUSAN










