PETALING JAYA: Berjaya Air Sdn. Bhd. mencatat sejarah baharu dalam industri penerbangan serantau apabila memperkenalkan ATR 72-600 pertama di dunia yang menampilkan kabin Highline Kelas Perniagaan dengan 26 tempat duduk premium.
Pesawat berkenaan ditampilkan semasa Pelancaran Rasmi Rangkaian Destinasi Baharu Berjaya Air dan Pengenalan Pesawat Baharu itu bagi menawarkan pengalaman perjalanan mewah pada harga mampu milik.
Kabin tersebut menawarkan suasana yang lebih tenang, tempat duduk dengan ruang kaki yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata, pengenalan ATR 72-600 kabin Highline Kelas Perniagaan pertama dunia itu, merupakan detik penting bagi seluruh Kumpulan Berjaya.
“Inovasi ini mencerminkan komitmen kami dalam mengangkat landskap penerbangan serantau dengan produk yang menggabungkan kemewahan, keselesaan dan aksesibiliti,” katanya pada majlis pelancaran di Berjaya Times Square Kuala Lumpur, hari ini.
Berjaya Air turut menjalin kerjasama bersama Kumpulan Berjaya Hospitality yang memperkenalkan pelbagai keistimewaan perjalanan dan penginapan eksklusif di portfolio hotel dan resort antarabangsa Kumpulan itu.
Sementara itu, Pengurus Besar Berjaya Air, Mohd Amri Mohd Akib berkata, pelancaran tersebut menjadi mercu tanda baharu dalam aspirasi syarikat penerbangan itu untuk mentakrifkan semula standard perjalanan jarak dekat.
“Pengenalan ATR 72-600 kabin Highline Kelas Perniagaan ini mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi serta penyampaian pengalaman penerbangan yang lebih selesa dan direka dengan teliti. Ia menggambarkan visi kami untuk menawarkan kemewahan mampu milik kepada setiap penumpang,” katanya.
Pelancaran turut menandakan permulaan baharu bagi Berjaya Air dalam melangkah ke fasa lebih canggih dengan reka bentuk yang menyediakan kemewahan mampu milik kepada pasaran serantau yang lebih luas. – UTUSAN










