PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkukuh kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memperkenalkan kad jenama bersama, Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN.
Bagi menikmati kemudahan baharu itu, pelanggan PTPTN perlu membuka Akaun Simpanan atau Semasa Bank Islam dan pemegang kad juga boleh menghubungkan akaun Simpan SSPN mereka dengan mudah.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kerjasama strategik itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Bank Islam dan PTPTN.
“la juga mencerminkan komitmen Bank Islam untuk memacu inovasi perbankan yang selamat, patuh Syariah dan selaras dengan aspirasi negara ke arah masyarakat tanpa tunai.
“Melalui Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN, kami berhasrat untuk membantu pelanggan mengurus kewangan mereka dengan lebih efisien serta menikmati kemudahan transaksi digital yang mudah, cepat dan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Pemegang kad berpeluang menikmati ganjaran menarik melalui pulangan tunai sebanyak satu peratus sehingga RM10 sebulan dengan perbelanjaan runcit terkumpul minimum RM200 setiap bulan dari 1 November 2025 sehingga 31 Disember 2026.
Selain itu, pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad ini turut berpeluang menerima pulangan tunai tambahan.
Pulangan tunai yang diterima akan dikreditkan ke akaun Simpan SSPN sebagai simpanan tambahan.
Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN menawarkan pelbagai kelebihan unik termasuk kemudahan transaksi tempatan dan antarabangsa di lebih 130 juta lokasi dengan penerimaan global Visa. Pelanggan juga boleh menetapkan had perbelanjaan dan had tanpa sentuh (contactless limit) mengikut keperluan masing-masing serta berpeluang menikmati tawaran eksklusif dan keistimewaan menarik daripada Visa dan Bank Islam.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PTPTN untuk membantu pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dalam mengurus kewangan mereka dengan cara yang lebih sistematik.
“PTPTN sentiasa mengalu-alukan penglibatan institusi kewangan atau syarikat korporat lain untuk turut sama mengadakan kerjasama strategik
“Kerjasama itu boleh berbentuk dalam kempen, peraduan mahupun sumbangan bagi membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman mereka. atau sebagai simpanan di dalam Simpan SSPN,” ujarnya.
Bank Islam dengan kerjasama PTPTN turut menganjurkan Kempen LINK2WIN, merupakan inisiatif strategik bagi menggalakkan penggunaan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN.
Ia diperkenalkan khusus untuk menyokong transaksi berkaitan simpanan dan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.
Tempoh kempen itu bermula pada 1 November 2025 sehingga 31 Januari 2026.
Melalui kempen ini, 10 pemenang berpeluang memenangi hadiah Samsung Galaxy Z Fold7. Terma dan syarat kempen boleh dirujuk di pautan https://www.bankislam.com/link2win/










