AWC sasar peluang projek pusat data - Utusan Malaysia

AWC sasar peluang projek pusat data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan kejuruteraan tersenarai di Pasaran Utama, AWC Berhad, optimis terhadap prestasi tahun kewangan 2026 selepas mencatat momentum kukuh pada tahun kewangan 2025 dengan rekod hasil tertinggi kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden AWC Berhad, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, syarikat memulakan tahun kewangan 2026 dengan kedudukan yang kukuh apabila berjaya memperoleh beberapa kontrak utama bernilai RM382 juta setakat ini.

“Kontrak-kontrak ini memberi petunjuk jelas terhadap keupayaan pendapatan kami bagi tahun-tahun mendatang dan seterusnya mengukuhkan sumber hasil berulang. Pada TK2025, kira-kira 45 peratus daripada pendapatan kumpulan bersifat berulang. 

“Prospek bagi semua empat bahagian perniagaan kekal memberangsangkan sejajar dengan peningkatan aktiviti tender dan pemulihan permintaan di beberapa pasaran utama,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-24. 

Mengulas mengenai Bahagian Kejuruteraan, Ahmad Kabeer berkata, AWC kini sedang membida beberapa projek pusat data di Malaysia, selain tender baharu di pasaran Singapura.

“Sementara itu, projek pusat data yang diperoleh tahun lalu sedang berjalan lancar dan bakal siap dalam masa terdekat,” katanya.

Penekanan terhadap projek pusat data mencerminkan pertumbuhan pesat ekosistem digital serantau, sekali gus membuka ruang baharu kepada AWC untuk memperkukuh kepakarannya dalam segmen bernilai tinggi itu.

Bagi bahagian kemudahan, kumpulan kini sedang membuat persiapan rapi untuk tender konsesi baharu selepas menerima lanjutan kontrak selama setahun.

Sementara bagi bahagian alam sekitar, AWC menjangkakan pasaran Singapura dan Timur Tengah menunjukkan peningkatan semula, manakala permintaan dalam negara dijangka terus stabil.

Bahagian Rel pula baru-baru ini memperoleh kontrak RM60 juta bagi kerja-kerja landasan LRT Laluan Ampang daripada Prasarana Malaysia Berhad.

“Melangkah ke hadapan, inisiatif infrastruktur rel seperti LRT Pulau Pinang, MRT3 dan projek di wilayah selatan menyediakan potensi besar untuk mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor rel negara,” katanya.

Setakat akhir September 2025, AWC memiliki buku pesanan berjumlah RM528 juta, tidak termasuk lima kontrak tambahan bernilai kira-kira RM370 juta yang dimuktamadkan selepas suku dikaji.

Bagi tahun kewangan 2025, jumlah dividen yang diisytiharkan ialah 1.25 sen sesaham, bersamaan kadar pembayaran sebanyak 16.5 peratus berdasarkan pendapatan sesaham 7.5 sen.

Tambahnya, kumpulan kekal yakin terhadap unjuran tahun hadapan.

“Secara keseluruhan, prospek kumpulan adalah positif dengan banyak peluang boleh diteroka merentas semua bahagian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN