PETALING JAYA: Aset rizab rasmi Malaysia pada akhir bulan November 2025 berjumlah AS$124.1 bilion, kekal stabil dan mencukupi bagi menyokong keperluan ekonomi negara, menurut data terperinci yang disediakan mengikut Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, komponen utama rizab tersebut terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah AS$109.78 bilion, kedudukan Rizab IMF sebanyak AS$1.29 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) AS$5.97 bilion, emas AS$4.76 bilion serta aset rizab lain berjumlah AS$2.32 bilion.
“Sementara itu, aset mata wang asing lain berjumlah AS$0.27 bilion pada akhir November 2025,” katanya dalam kenyataan.
Menurut bank pusat itu, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing dianggarkan sebanyak AS$13.19 bilion, termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan Persekutuan serta kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.
“Kedudukan jualan hadapan bersih direkodkan sebanyak AS$21.02 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing dianggarkan berjumlah AS$2.91 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, BNM berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$0.42 bilion.
“Malaysia tidak mempunyai pinjaman mata wang asing yang mengandungi opsyen, selain tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan dengan bank pusat lain atau organisasi antarabangsa.
“BNM juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.
Data SDDS menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir November 2025 kekal boleh guna dan berada dalam kedudukan stabil, selari dengan pengurusan rizab yang berhemat serta keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi dan kewangan negara. – UTUSAN










